am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pembangunan pesat di kawasan berbukit Paya Terubong, Pulau Pinang, khususnya membabitkan pembinaan infrastruktur jalan raya dan pangsapuri bertingkat tinggi menjadi antara faktor utama menyumbang peningkatan risiko kejadian tanah runtuh.
Pakar Governan Persekitaran Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berkata, secara geoteknikal dan geomorfologi, lereng bukit peka terhadap sebarang gangguan fizikal.
Katanya, apabila aktiviti pemotongan cerun dan menarah
tanah dijalankan tanpa kawalan berjadual atau langkah pemeliharaan kestabilan yang rapi, struktur asal tanah menjadi tidak stabil akibat kehilangan daya lekatan intergranular dan menjejaskan sudut geseran dalaman.
“Bukti saintifik dan rekod sejarah membuktikan bahawa pergerakan jisim tanah di Paya Terubong berkait rapat dengan gangguan antropogenik terhadap topografi cerun.
“Selain itu, pemetaan kawasan berisiko tinggi oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta kajian geologi persekitaran menunjukkan bahawa sebahagian besar kawasan cerun Paya Terubong terdiri daripada batuan granit terlukat iaitu batuan granit asal yang mengalami proses luluhawa fizikal, kimia dan biologi yang ekstensif dalam jangka masa geologi yang panjang.
“Lapisan tanah regolit yang amat peka terhadap hakisan air gully iaitu proses hakisan air permukaan yang serius dan agresif di mana aliran air hujan yang terkumpul membentuk alur, parit atau nganga tanah yang dalam, lebar serta kekal pada permukaan cerun atau tanah terbuka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada 19 Oktober 2018, insiden tanah runtuh berlaku di tapak projek pembinaan Jalan Pasukan Pertahanan Awam (PPA) Paya Terubong dan meragut sembilan nyawa pekerja asing.
Terbaru Ahad lalu, kejadian tanah runtuh di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong mengorbankan seorang warga emas berusia 73 tahun apabila bahagian dapur rumahnya dihempap runtuhan.
Laporan siasatan jawatankuasa bebas dan analisis kegagalan geoteknik mengesahkan punca utama kegagalan cerun berpunca pengurusan aliran air permukaan yang lemah, pemotongan cerun yang terlalu curam tanpa perlindungan sisa tanah serta ketiadaan sistem perparitan sementara yang berkesan semasa fasa pembinaan.
Keadaan itu menyebabkan ketepuan air yang ekstrem dalam liang tanah semasa hujan lebat sekali gus meningkatkan tekanan air liang dan mengurangkan kekuatan ricih tanah secara mendadak.
Haliza berkata, apabila liputan kanopi vegetasi asal dibersihkan untuk projek pangsapuri dan laluan raya, kadar resapan air hujan ke dalam tanah meningkat secara tidak terkawal manakala keupayaan cengkaman akar tumbuhan hilang sepenuhnya.
“Data pemantauan kestabilan cerun menunjukkan bahawa had laju larian air permukaan boleh meningkat sehingga tiga ke empat kali ganda di tapak projek yang digondolkan. Ini seterusnya mempercepat proses ketidakstabilan cerun dan memulakan kegagalan cerun cetek mahupun aliran lumpur.
“Berdasarkan prinsip geoteknik dan bukti empirikal kes-kes terdahulu, pembangunan di kawasan berbukit Paya Terubong sememangnya menjadi pemangkin utama kepada bencana tanah runtuh sekiranya garis panduan Pembangunan di Kawasan Tanah Tinggi dan Cerun tidak dipatuhi secara ketat, terutama dari segi pengurusan air bumi, kawalan hakisan terampai dan penyediaan struktur penahan cerun yang canggih,” katanya.
Jelasnya lagi, langkah mitigasi sedia ada masih belum mencapai tahap keberkesanan menyeluruh di samping wujudnya faktor sistemik baharu yang belum ditangani secara tuntas.
“Berdasarkan laporan forensik geoteknik dan penilaian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), penguatkuasaan langkah mitigasi kejuruteraan konvensional seperti pembinaan dinding penahan dan sungkupan konkrit sering kali bersifat reaktif dan tertumpu pada tapak projek individu, bukannya merangkumi pendekatan pengurusan lembangan saliran menyeluruh.
“Selain itu, faktor utama yang sering terlepas pandang ialah fenomena perubahan iklim global yang mencetuskan anomali cuaca ekstrem di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




