AFP
Miami: Pemain golf terbaik Thailand, Jeeno Thitikul melonjak mendahului dengan kelebihan enam pukulan selepas pusingan ketiga awal pagi tadi dalam Kejohanan Penutup Musim Jelajah LPGA, selepas melakukan lapan di bawah par 64.
Juara bertahan itu bangkit daripada permulaan bogey-birdie dengan mencatat tiga birdie berturut-turut di sembilan lubang pertama dan empat lagi berturut-turut di sembilan lubang terakhir, menamatkan 54 lubang dengan rekod kejohanan 22 di bawah 194 di Kelab Golf Tiburon di Naples, Florida.
“Ia berlangsung dengan baik. Saya hanya cuba fokus pada diri sendiri dan cuba melakukan birdie demi birdie kerana saya tahu ada ramai pemain lain yang turut mampu mencatat lebih banyak birdie,” kata Jeeno.
Bintang Asia berusia 22 tahun itu memburu gelaran kejohanan paling lumayan dalam golf wanita untuk tahun kedua berturut-turut, dengan pemenang membawa pulang hadiah utama 4 juta dollar (RM16 juta).
Pemain nombor dua dunia, Nelly Korda dari Amerika Syarikat yang masih mencari kemenangan pertama musim ini, berkongsi tempat kedua dengan pemain Thailand, Pajaree Anannarukarn, masing-masing mencatat 65 pukulan untuk berada pada jumlah keseluruhan 200.
“Ia satu pusingan yang baik. Mungkin ada beberapa pukulan yang saya terlepas, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati,” kata Korda.
Jeeno, yang memulakan hari dengan kelebihan tiga pukulan, bangkit dengan birdie di lubang empat, lima dan enam.
Dia sekali lagi menemui rentak dengan deretan birdie dari lubang 11 hingga lubang 15 untuk lima di bawah par, sebelum menambah satu lagi di lubang 17 dan menutup saingan dengan melengkapkan pusingan keenamnya dengan skor 64.
© New Straits Times Press (M) Bhd




