KLANG – Sinar Karangkraf mencadangkan penganjuran Jelajah TV PSS Sinar Bestari x Malaysia100 ke seluruh negara bersempena kempen sambutan menuju 100 Tahun Kemerdekaan Negara pada 2057.
Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, inisiatif itu bertujuan memberi ruang kepada murid berkongsi kisah mengenai Malaysia menerusi perspektif mereka sendiri pada 2027 nanti.

Farah ketika berucap pada Majlis Kemuncak Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026 di Hotel Premiere, Bukit Tinggi pada Khamis. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
“Langkah ini diambil memandangkan anak-anak hari ini bakal menjadi pemimpin dan ahli profesional yang akan mencorakkan masa depan negara.
“Justeru, kita perlu bermula hari ini tentang perjalanan hari esok,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026 di Hotel Premiere, Bukit Tinggi di sini pada Khamis.
Majlis itu dirasmikan Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.
Turut hadir, Datin Hezeita Mohd Hafidz; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Aniza Kamarulzaman serta wakil rakan strategik utama program, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi (tengah) menerima cenderahati selepas merasmikan majlis berkenaan. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
PAAB merupakan rakan strategik Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026, manakala penganjuran program itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk GGR Motor Sdn Bhd, Nemo Manja Fragrance, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Ablefarm, Samudra Food, Sasbadi dan LAMA.
Penganjuran festival berkenaan terus memperkukuh peranan TV PSS sebagai platform pendidikan yang menggabungkan kreativiti, komunikasi, teknologi dan nilai kemanusiaan dalam melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing.
Mengulas Festival TV PSS Sinar Bestari 2026 yang bertemakan ‘Kemanusiaan, Kemasyarakatan dan Hormat-menghormati’, Farah berkata, tema itu amat bertepatan dengan perkembangan dunia media ketika ini.
Menurutnya, walaupun teknologi berkembang pesat dan kandungan media semakin mudah dihasilkan, nilai kemanusiaan serta kemasyarakatan tidak boleh diketepikan.
“TV PSS bukan sekadar platform membina kemahiran teknikal, tetapi juga ruang untuk membina keyakinan, bakat serta menyerlahkan potensi murid untuk menyampaikan cerita yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi ketika berucap menyifatkan festival berkenaan sebagai platform amat bermakna dalam mencungkil bakat, menyerlahkan kreativiti dan membina keyakinan diri murid.

Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi
Beliau berkata, kesungguhan dan semangat yang dipamerkan sepanjang festival itu amat membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.
“Semoga segala ilmu, pengalaman dan persahabatan yang terjalin sepanjang program ini menjadi bekalan berharga dalam membentuk generasi yang berilmu, berkemahiran, serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada semua murid, guru, pegawai pendidikan, pasukan Sinar Bestari serta seluruh pihak yang menjayakan program berkenaan.

Festival turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Nabila Razali. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
Festival anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) itu berlangsung dari 22 hingga 25 September, menghimpunkan lebih 40 murid serta guru daripada 30 sekolah di seluruh negara.
Festival turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, tayangan video khas, persembahan silat dan nyanyian artis jemputan, Nabila Razali.