Kaki buku buru novel seram di Festival Novel Malaysia Karangkraf

SHAH ALAM – Setelah bertahun-tahun tidak pernah melepaskan peluang menghadiri Festival Novel Malaysia anjuran Karangkraf, Sizarifalina Mohd Ali, 50, kembali ke acara berkenaan dalam keadaan berbeza apabila hadir ditemani suaminya, Surizat Amaludin, 37, sambil menggunakan kerusi roda.

Peminat tegar novel seram itu berdepan masalah saraf yang menjejaskan pergerakan, namun minatnya terhadap buku tetap memberi semangat untuk kembali ke festival berkenaan.

Menurut suri rumah yang tinggal di Damansara itu, buku bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada rutin bersama suami yang turut berkongsi hobi membaca.

Sizarifalina berkata, genre yang paling diminatinya ialah novel seram, terutama karya penulis terkenal, Ramlee Awang Murshid.

“Saya memang datang ke festival anjuran Karangkraf setiap tahun. Saya suka baca buku seram, lagipun Karangkraf ada banyak buku seram,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, minat terhadap buku turut dikongsi bersama suami sehingga mereka mempunyai perpustakaan mini di rumah.

Kunjungan kali ini juga menyaksikan pasangan berkenaan membeli dua beg buku dengan perbelanjaan lebih RM100.

Minatnya terhadap novel juga membuatkan dia mampu menghabiskan sebuah buku dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga jam sekiranya mempunyai masa untuk membaca.

“Kalau duduk membaca sahaja saya boleh habiskan satu novel dalam dua ke tiga jam,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung dari Taiping, Perak, Nur Hassanah Abdul Jalil, 30, menempuh perjalanan lebih 200 Kilometer (km) untuk datang ke festival berkenaan selepas menonton video promosi di Instagram.

“Saya memang sengaja datang untuk tengok-tengok, tapi masa sama memang nak beli buku.

“Saya cari secara rawak. Kalau nampak genre yang saya berkenan dan suka, saya ambil,” katanya.

Hassanah berbelanja sebanyak 13 buku, sebahagiannya untuk diri sendiri dan selebihnya lagi sebagai hadiah kepada rakan termasuk anak rakannya.

Sementara itu, seorang pegawai tadbir, Nur Syuhada Ramli, 35, dari Shah Alam membeli tujuh buku dengan perbelanjaan kira-kira RM200, selepas mendapatkan cadangan mengenai judul menarik menerusi media sosial.

“Sebelum datang saya ada bertanya di TikTok tentang buku apa yang menarik. Penulis pun ada bagi cadangan contohnya Anna Lee,” katanya.

Menurutnya, masa untuk dihabiskan dengan membaca novel banyak bergantung kepada situasi dan tujuh buku yang dibelinya mungkin mengambil masa sehingga setahun untuk dihabiskan.

“Kalau rasa nak baca, saya baca. Jadi mungkin ambil masa sampai setahun untuk habiskan semua,” katanya.

Scroll to Top