mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Beego, 45, memaklumkan anak sulungnya, Jelita Clarissa, 11, mungkin sudah mengetahui hubungan ibu bapanya kini sedang bermasalah.
Menurutnya, seperti dikatakan isterinya, Linda Hashim, Jelita semakin dewasa dan tahu apa yang berlaku di sekeliling.
“Kalau ditanya berkenaan anak kedua dan ketiga (Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6) mereka tak tahu apa-apa pun.
“Kalau cakap yang sulung saja tapi yang kedua dan ketiga tak diselamatkan pun tak boleh juga. Saya nak selamatkan rumah tangga supaya kita boleh neutralkan semula.
“Sebab anak pertama dia dekat sikit dengan emaknya. Mungkin kawan-kawan sekolah pun ada bagi maklumat sebab orang tahu dia anak siapa. Mungkin dia lebih berat ke arah ibunya,” katanya ditemui sebaik selesai menjalani proses JKP (Jawatankuasa Pendamai) bagi kes tuntutan perceraian Linda terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia juga baru saja selesai meluangkan masa bersama anak kedua dan ketiga dua hari lalu.
“Mereka kata kalau boleh nak mummy dan daddy ambil mereka di sekolah. Yang ini siapa nak dengar?
“Anak-anak saya perempuan, baiklah diuruskan oleh Linda. Sebagai bapa pun saya ada batas. Pada umur tertentu saya tak boleh mandikan mereka lagi. Mereka dah anak gadis,” katanya.
Mengulas dakwaan Linda mengatakan dia tidak berusaha meraikan sambutan ulang tahun Jelita semalam, Beego mengakui ada sedikit masalah antara mereka.
“Jelita cuba elak saya sebab dia macam kecil hati sikit dengan saya. Manakala Indah saya bawa dia untuk sambut hari jadi dia, tapi hari itu saya ke Johor.
“Kemudian saya balik ambil anak-anak dengan saya sebab esoknya sekolah. Jadi belum ada masa. Kalau boleh saya nak bawa dua-dua sebab hari jadi Indah pada 8 April, manakala Jelita 22 April.
“Jangan gunakan itu untuk menentang saya sebab saya tak diberi peluang. Kalau semua benda nak menentang saya, lebih baik cerita dengan satu dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




