KUANTAN – Tirai 2024 dibuka menerusi Program Healing Sampai Pagi di Menara 188 di sini sempena meraikan tahun baharu yang disertai kira-kira 70 jemaah hadir menunaikan Solat Tahajud.
Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Muhammad ’Izzan Idris Al-Hafiz berkata, ibadah qiamualail di ‘atas kayangan’ itu merupakan sentuhan dakwah yang boleh dipupuk sebagai azam baharu.
Menurutnya, penganjuran kali kedua itu diadakan sempena sambutan 1 Januari 2024 itu sekali gus dapat memantapkan konsep ibadah pelancongan di lokasi pelancongan tersohor itu.
”Program Healing Sampai Pagi bermula 4.45 pagi dan saya berpeluang mengimamkan bersama 70 jemaah.
”Merasa pengalaman menunaikan solat pada ketinggian 92 meter juga sarapan pada ketinggian 104 meter di Kuantan 188 kebanggaan warga Pahang.
”Moga tahun baru, ibadah kita sentiasa di puncak, keutamaan sepenuh kepada ibadah. Tiada yang lebih penting dari seruan mentaati Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menariknya, program berkenaan merupakan kolaborasi antara Menara Kuantan 188 dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 berjaya menarik penyertaan daripada kalangan orang muda.
Selesai qiamulail, solat Subuh diadakan dan disusuli sesi tazkirah sebelum sarapan bersama jemaah.
Hadir sama Pengarah Urusan Menara 188, Datuk Zulkifli Mohamad dan Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Rizzal Ali Nafiah.
Program Healing Sampai Pagi antara pengisian dalam Lepak Fest Menara 188 yang diadakan selama empat hari bermula pada 29 Disember 2023 sehingga hari ini.- MalaysiaGazette




