Jenayah seksual dalam keluarga ‘wake up call’ kepada masyarakat – Aiman Athirah

Jenayah seksual dalam keluarga ‘wake up call’ kepada masyarakat – Aiman Athirah

SHAH ALAM – Kes seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 270 tahun dan 180 kali sebatan selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya sendiri perlu menjadi ‘wake up call’ kepada seluruh masyarakat bahawa jenayah seksual boleh berlaku di mana-mana termasuk dalam institusi keluarga yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perbuatan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah sebagai ibu bapa selain meninggalkan kesan fizikal dan trauma emosi yang berpanjangan kepada mangsa.

“Kes seorang bapa yang telah dijatuhkan hukuman 270 tahun penjara dan 180 kali sebatan kerana merogol anak sulungnya berulang kali sejak mangsa berusia 16 tahun sehingga kini berusia 25 tahun perlu menjadi ‘wake up call’ kepada semua keluarga dan masyarakat.

“Ia menunjukkan penderaan seksual boleh berlaku di mana-mana, termasuk dalam lingkungan yang paling dekat dengan mangsa. Kita tidak boleh lagi menganggap rumah sentiasa menjadi tempat paling selamat tanpa membina kesedaran, komunikasi dan sistem perlindungan yang kukuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki didakwa melakukan ugutan emosi terhadap anak sulungnya dengan mengungkit pengorbanan menanggung perbelanjaan keluarga dan pendidikan mangsa sebelum memaksanya menempah bilik hotel untuk dirogol.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Tawau, mangsa yang kini berusia 25 tahun gagal menolak kehendak bapanya kerana sering dipengaruhi secara emosi dengan alasan tertuduh tersebut.

Perbuatan terancang itu akhirnya membawa padah apabila lelaki berusia 53 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara berkata, terdapat pelaku yang menyalahgunakan kedudukan sebagai ibu bapa, kuasa, pergantungan ekonomi serta alasan pengorbanan membesarkan anak untuk memanipulasi dan memaksa mangsa memenuhi kehendak mereka.

“Perlu ditegaskan bahawa segala jasa dan tanggungjawab seorang ibu bapa dalam membesarkan anak adalah amanah, bukannya hutang yang boleh dituntut dengan cara yang zalim dan tidak bermoral,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyeru mangsa supaya tidak terus berdiam diri sekiranya berdepan penderaan seksual kerana kesalahan tersebut terletak sepenuhnya pada pelaku.

“Tiada siapa berhak menyentuh, mengugut, memaksa atau mencederakan diri kamu atas apa jua alasan. Jangan berasa bersalah, malu atau takut untuk bersuara. Kesalahan bukan terletak pada mangsa, tetapi pada pelaku yang memilih untuk melakukan kezaliman,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membendung jenayah seksual dalam keluarga memerlukan komitmen semua pihak, termasuk ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Katanya, keluarga perlu menjadi benteng perlindungan utama dengan mewujudkan komunikasi yang terbuka, manakala ahli keluarga dan masyarakat tidak seharusnya menutup mata terhadap sebarang tanda penderaan hanya kerana mahu menjaga nama baik keluarga.

Beliau turut berharap masyarakat memainkan peranan sebagai mata dan telinga, manakala kerajaan dan agensi berkaitan digesa memperkukuh ekosistem perlindungan.

“Diam bukan penyelesaian. Perlindungan dan tindakan adalah tanggungjawab kita bersama,” menurut Aiman Athirah lagi.

Scroll to Top