KULIM – Sekolah perlu terus kekal sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu, dengan setiap insiden yang mengancam keselamatan termasuk kes buli diberi perhatian serius dan ditangani sewajarnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memainkan peranan memantau aspek keselamatan di sekolah.
“Cuma kalau ianya melibatkan isu keselamatan, ya, kita memang ikhtiar polis, kita ada pegawai perhubungan sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis, di KDN juga kita hantar pegawai pada AADK.
“Bagi sekolah-sekolah ini, mereka diberikan tanggungjawab untuk mengawasinya dalam semua aspek termasuk insiden buli, jadi bukan saja soal keselamatan bab buli juga,” katanya ketika melawat lokasi kebakaran membabitkan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden buli membabitkan pelajar termasuk kejadian di Cheras baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, empat pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki terlibat memukul seorang remaja sehingga menyebabkan mangsa parah.
Menurut Saifuddin, pemantauan di sekolah tidak hanya tertumpu kepada kes buli, sebaliknya merangkumi semua insiden yang melibatkan keselamatan pelajar.
“Jadi, bukan sahaja soal keselamatan berkaitan buli, malah termasuk juga satu dua insiden lain yang berlaku misalnya pelajar terjatuh di sekolah seperti insiden di Kuala Nerang baru-baru ini yang masih lagi dalam siasatan pihak polis.
“Sama ada insiden pelajar terjatuh ataupun kes buli, semuanya termasuk dalam tanggungjawab berkaitan keselamatan sekolah dan ini memang menjadi tanggungjawab pasukan polis,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bantuan tunai segera RM500 kepada 116 pelajar yang terjejas dalam kebakaran asrama itu diharap dapat meringankan beban mereka memandangkan ada dalam kalangan pelajar tidak sempat menyelamatkan harta benda dan tinggal sehelai sepinggang.
“Pada masa sama, dengan persetujuan Perdana Menteri yang saya laporkan insiden ini kepada beliau tadi, saya memohon supaya peruntukan segera sebanyak RM200,000 dapat diberikan bagi tujuan membina bangunan sementara.
“Pada masa yang sama juga, pejabat saya sendiri memberikan bantuan tunai segera kepada PIBG sekolah sebanyak RM10,000,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menggerakkan perkhidmatan van bergerak ke sekolah berkenaan bagi membantu pelajar yang kehilangan dokumen pengenalan diri menguruskan penggantian dokumen tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.



