Jenazah Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Prof Diraja, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, malam ini.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 9.30 malam sebaik solat jenazah selesai dilaksanakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini.

Kira-kira 40 orang terdiri daripada kalangan ahli keluarga, rakan dan kenalan hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Bacaan doa dan talkin dipimpin lmam Masjid At-Taqwa, Ahmad Saufi Mustaffa selesai pada jam 10 malam.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid At-Taqwa untuk solat jenazah, kira-kira jam 8.50 malam dari Hospital Prince Court.

Jenazah diiringi isteri, Rahaiah Baheran serta anak perempuan Allahyarham yang juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya, petang tadi.

Beliau berkata, Allahyarham banyak berjasa khususnya dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi berkaitan orang Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, beliau percaya jasa dan pengorbanan Allahyarham yang tiada tolok bandingnya akan sentiasa dikenang di minda serta hati setiap rakyat Malaysia.

“Saya amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham iaitu seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani.

“Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, ” katanya di Facebook semalam.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengimbau semula antara sumbangan Allahyarham termasuk kejayaannya menjadi anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun.

Katanya, di bawah pentadbiran Allahyarham, Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan.

Beliau berkata, jasa besar Allahyarham juga dikenang dalam penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) iaitu dua institusi yang dekat dengan orang Melayu.

 

ZA137 Malay News

National Desk