Pemancing lemas ketika cuba selamatkan bot hanyut

Johor Bahru: Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas dia terjun ke laut kerana mahu menyelamatkan botnya yang hanyut di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Fazudin Azuardi Ismadi, 33,  pada  2.37 petang.

Beliau berkata, 10 anggota segera ke lokasi kejadian bersama jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux serta bot bagi kerja mencari dan menyelamat.

“Menurut rakan Fazudin, ketika mereka sedang memancing bersama-sama di sebuah rumah rakit, bot yang dinaiki mereka tiba- tiba hanyut kerana ikatannya tercabut.

“Fazudin yang menyedari kejadia itu telah terjun ke dalam laut untuk mengambil bot yang hanyut namun mangsa didapati hilang dipercayai lemas,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Pihak bomba telah menggunakan sebuah bot bagi operasi ini dengan melibatkan skop pencarian pada jarak satu kilometer sekitar rumah rakit berkenaan.

 

Malay News

National Desk