nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan sebanyak 1,418 tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh negara sepanjang tempoh jerebu bermula 3 Ogos hingga Ahad lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, tindakan itu merangkumi 978 aktiviti pemantauan, 83 arahan di lapangan dan 31 Notis Arahan dikeluarkan.
Selain itu, katanya, 305 kes dirujuk kepada agensi lain bagi tindakan lanjut, 11 tindakan kompaun ditawarkan serta 10 tindakan carian hak milik tanah bagi membantu proses siasatan dan tindakan mahkamah.
“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan JAS dalam mengesan, mencegah dan mengambil tindakan terhadap aktiviti pembakaran terbuka serta punca pencemaran berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sepanjang episod jerebu.
“Tindakan penguatkuasaan turut diperkukuhkan melalui pemeriksaan dan rondaan di kawasan dikenal pasti berisiko termasuk kawasan pertanian, tanah gambut, kawasan ladang, tapak pelupusan sampah serta lokasi yang mempunyai potensi berlaku pembakaran terbuka.
“Sekiranya terdapat kesalahan dikenal pasti, tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti diperoleh di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, katanya, JAS akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan.
“Ini dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input dalam penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“JAS turut menekankan kerjasama pihak industri dalam memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.
“Ia selaras dengan keperluan kawalan pencemaran dan tanggungjawab pihak industri dalam membantu mengurangkan tekanan terhadap kualiti udara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan JAS dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menetapkan peranan pelbagai agensi berdasarkan tahap dan perkembangan situasi jerebu.
“Antara mekanisme yang digariskan ialah pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh NADMA apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
“Selain itu, penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100; penutupan sekolah, tadika dan taska apabila IPU melebihi 200 dan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.
Menurutnya, JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan ditetapkan.
“Ini bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan di semua peringkat.
“Dalam keadaan semasa, JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia khususnya jika aktiviti itu menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara,” katanya.
Beliau berkata,tindakan pencegahan, pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan bukti serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada JAS.
“JAS menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak membenarkan tanah atau premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka,” katanya.
Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, katanya, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Katanya, kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
