firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bola sepak inklusif di Asia Tenggara bakal memasuki fasa baharu apabila agensi PR dan penjenamaan sukan Malaysia, ShekhinahPR, diberi mandat mengurus dan melaksanakan program Integrated Dreams di rantau Asia.
Kerjasama itu dimeterai di Madrid, Sepanyol, semalam sempena World Football Summit Madrid 2026, sekali gus membuka laluan kepada pelbagai program pembangunan bola sepak inklusif yang dirancang berlangsung di Malaysia, Thailand dan Indonesia tahun depan.
Antara tumpuan utama kerjasama itu adalah memperluaskan penyertaan individu kurang upaya dalam ekosistem bola sepak, selain pembangunan kepimpinan, pendidikan, pembinaan kapasiti dan membuka lebih banyak ruang kepada golongan berkenaan untuk terlibat dalam industri sukan.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar memperluaskan program bola sepak kurang upaya, malah mahu memastikan individu daripada golongan berkenaan mempunyai peluang untuk memimpin dan membina kerjaya dalam industri sukan.
“Bola sepak adalah untuk semua. Tiada siapa yang seharusnya ketinggalan. Tidak kira apa jua keupayaan seseorang, setiap individu harus diberikan peluang untuk merasai pengalaman dalam bola sepak, belajar, memimpin dan menyumbang,” katanya.
Kerjasama itu turut mempunyai asas kukuh menerusi kejayaan Football For All Leadership Programme (FFALP) yang dianjurkan Integrated Dreams di Kuala Lumpur pada 2025.
Program itu menjadi edisi pertama FFALP di rantau Asia dan Oceania, menghimpunkan 40 peserta kurang upaya dari seluruh rantau untuk mengikuti program pembangunan kepimpinan, bola sepak kurang upaya dan latihan berkaitan industri sukan.
Program berkenaan turut mendapat sokongan FIFA Foundation.
Menurut Christopher, pengalaman menganjurkan program itu di Malaysia menjadi antara asas penting kepada kerjasama lebih luas yang kini dirancang untuk dikembangkan ke beberapa negara Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengasas Integrated Dreams, Jose Soares, berkata kerjasama dengan ShekhinahPR membolehkan organisasi itu memperluaskan usaha menjadikan keterangkuman sebagai sebahagian daripada pembangunan ekosistem bola sepak di Asia.
“Keterangkuman bukan sekadar memberikan akses kepada bola sepak, tetapi mewujudkan peluang kepada individu kurang upaya untuk memimpin, menyumbang dan membina kerjaya dalam industri sukan.
“Kerjasama ini memberikan kami rakan tempatan yang kukuh untuk membantu merealisasikan visi tersebut menerusi program yang bermakna dan menghasilkan impak jangka panjang,” kata Soares.
Untuk 2027, beberapa program dirancang berlangsung di Malaysia, Thailand dan Indonesia dengan tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, pembinaan kapasiti serta inisiatif bola sepak inklusif.
Kerjasama berkenaan dijangka menjadi platform untuk memperluaskan peluang penyertaan golongan kurang upaya bukan sahaja sebagai pemain, tetapi turut dalam aspek kepimpinan, pengurusan dan pembangunan industri bola sepak.
© New Straits Times Press (M) Bhd
