'Jika ada bukti pemilik butik langgar arahan, tindakan perundangan diambil' – Bomba

'Jika ada bukti pemilik butik langgar arahan, tindakan perundangan diambil' – Bomba

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan pemilik butik terkenal di Bangi, Selangor yang dipercayai mengingkari arahan memasuki premisnya yang terbabit dalam kebakaran, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, siasatan menyeluruh itu adalah bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku dan bagaimana pemilik boleh masuk ke dalam premisnya walaupun sudah dihalang oleh pegawai bomba di lokasi.

“Kebakaran berlaku bukan di dalam bangunan tetapi di ruangan tangga yang diletakkan kotak kosong dan ketika kebakaran itu, kita dapat lihat beberapa orang awam (pemilik dan pekerja) memasuki premis berkenaan.

“Jika ada bukti pemilik itu melanggar arahan, tindakan perundangan dari beberapa sudut boleh diambil antaranya menghalang anggota dan pegawai bomba mengawal api kebakaran di dalam premis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kedah, hari ini.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, tindakan larangan yang dikeluarkan oleh pegawainya itu adalah kerana bimbang dengan keselamatan pemilik dan pekerja butik itu.

“Selain itu, mereka perlu memastikan nyawa penghuni lain di dalam premis, orang awam dan anggota bomba yang bertugas dalam keadaan selamat.

“Terdapat juga kandungan (content) berhubung kejadian, kalau nak buat kandungan sekalipun, jangan sehingga membahayakan dan mengancam nyawa.

“Mungkin nampak asap kebakaran sikit sahaja tetapi kalau oksigen berada di bawah 16 peratus, boleh menyebabkan pengsan,” katanya.

Terdahulu kejadian itu tular pemilik butik terbabit memuat naik satu klip video berdurasi 46 saat memaparkan kejadian itu di TikTok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top