am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Cubaan menyeludup lebih 100,000 liter air zam-zam bersama ribuan cecair vape berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam dua operasi berasingan bulan lalu, membabitkan rampasan bernilai keseluruhan RM3.42 juta termasuk cukai dan duti.
Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan kontena di Zon Bebas Pelabuhan Johor dan sekatan lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
Katanya, dalam kes pertama pada 5 Ogos lalu, pasukan Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena sebelum menyita tiga lagi kontena pada 14 Ogos di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor.
“Hasil pemeriksaan rapi menemukan 21,582 botol air zam-zam bersamaan 107,910 liter yang tiada sebarang permit import. Air zam-zam adalah barang larangan dan hanya boleh diimport dengan lesen mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Dagangan dalam kontena itu diikrarkan sebagai Holy Water/ordinary water dalam Borang Kastam 4, Inward Manifest dan Bill of Lading. Nilai dagangan dianggarkan RM2.58 juta manakala jumlah duti serta cukai berjumlah RM647,460, menjadikan keseluruhan kira-kira RM3.23 juta.
“Kes itu disiasat mengikut Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi kes kedua pada 6 Ogos lalu, Aminul Izmeer berkata, Unit Mesin Pengimbas, Customs Border Management (CBM) Cawangan Eksport Stesen Gelang Patah mengesan imej mencurigakan sebuah lori Hino di Bay Pemeriksaan Eksport KSAB.
“Pemeriksaan menemui 7,680 unit cecair rokok elektronik (E-liquid Pods) yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu, selain 84 Bobbins Automotive Wire yang diikrarkan dalam Borang Kastam 2.
“Turut disita sebuah lori Hino bernilai RM130,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan bagi kes ini sebanyak RM185,576 termasuk cukai. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




