farid_noh@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Johor membenarkan had jemaah bagi solat Jumaat di masjid serta surau Jumaat di negeri ini, solat lima waktu dan solat jenazah ditambah mengikut kapasiti satu perempat keluasan bangunan bermula esok.
Had yang dibenarkan itu ditambah kepada 50 jemaah berbanding hanya 20 sebelum ini, namun surau kariah pula kekal tidak melebihi 20 jemaah.
Kehadiran jemaah kecuali imam, bilal dan noja bertugas, bagaimanapun dibenarkan hanya untuk mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19, termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin, semalam.
“Berkuatkuasa 12 Ogos ini, solat fardu Jumaat di masjid dan surau Jumaat negeri ini adalah mengikut kapasiti satu perempat bangunan dengan penjarakan fizikal. Bagi solat fardu lima waktu dan solat jenazah pula, masjid dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 jemaah.
“Bagaimanapun, surau kariah kekal dengan 20 jemaah. Bilangan jemaah adalah termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.
“Sekiranya kapasiti atau jumlah jemaah masjid dan surau masih mempunyai kekosongan pada solat Jumaat atau solat fardu lima waktu serta solat jenazah, maka boleh diberikan kebenaran kepada mereka yang sudab menerima satu dos suntikan vaksin,” kata kenyataan berkenaan.
Pengumuman prosedur operasi standard (SOP) baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri seperti Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.
Menurut kenyataan itu, mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat, hendaklah menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing.
“Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat beli-belah, pusat rekreasi ketika waktu solat Jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.
“JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup,” kata kenyataan itu.
Bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenyataan itu memaklumkan, ia dibenarkan dengan mematuhi SOP.
“Kehadiran semasa pengebumian jenazah adalah dibenarkan dengan tidak melebihi 50 orang, tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit COVID-19,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




