Mahkamah Persekutuan putuskan hukuman sebat terhadap banduan berperlembagaan

Mahkamah Persekutuan putuskan hukuman sebat terhadap banduan berperlembagaan

Putrajaya: Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan oleh tiga banduan yang memohon agar hukuman sebat terhadap mereka diketepikan, dengan memutuskan bahawa hukuman tersebut adalah berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi membentuk keputusan majoriti, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng menyampaikan keputusan berbeza.

Ketiga-tiga pemohon – Mohd Helmi Anuar Mohd Kassim, 46, Kumanaan Anthony Vincent, 41, dan J. Sivachandran, 38, – mendakwa hukuman sebat melanggar hak perlembagaan mereka terhadap kehidupan dan kesamarataan di sisi undang-undang seperti dijamin di bawah Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut merujuk kepada risiko kematian, dengan mengambil contoh kes seorang banduan yang meninggal dunia selepas disebat.

Ketika menyampaikan keputusan majoriti itu, Hakim Wan Ahmad Farid berkata hukuman sebat tidak termasuk dalam lingkungan hukuman yang “kejam, menindas dan menjatuhkan maruah” dari sudut perlembagaan.

Beliau berkata hukuman sebat tidak bertujuan untuk menyebabkan kematian, tidak seperti hukuman mati yang menafikan hak seseorang untuk hidup.

Hakim Wan Ahmad Farid seterusnya berkata bahawa hukuman sebat tidak melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan sehingga memerlukan ia diketepikan.

Beliau berkata pada akhirnya, Parlimen yang menentukan keberkesanan moral atau kewajaran sosial sesuatu hukuman tertentu, sambil menambah badan kehakiman akan melangkaui batas kuasa perlembagaannya jika ia menggantikan pilihan dasar yang dibuat secara sengaja oleh cabang legislatif dengan pandangan moral subjektifnya sendiri.

Beliau berkata ketiga-tiga pemohon juga tidak mengemukakan sebarang bukti perubatan yang menunjukkan bahawa mereka tidak layak untuk menjalani hukuman sebat atau hukuman tersebut akan menimbulkan risiko kematian sekiranya dilaksanakan.

Dalam penghakiman berbeza, Hakim Lee berpendapat bahawa hukuman sebat adalah tidak berperlembagaan kerana melanggar hak untuk hidup, maruah serta perlindungan undang-undang yang sama, dan wajar dibatalkan.

Beliau berkata cara pelaksanaan hukuman sebat di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Peraturan Penjara 2000 boleh menyebabkan sesetengah banduan mengalami kekangan fizikal jangka panjang, termasuk kesukaran berdiri dalam tempoh lama, khususnya bagi mereka bekerja secara manual, manakala ada mungkin berkerusi roda dan tidak lagi mampu bekerja untuk menyara keluarga.

Hakim Lee mencadangkan bahawa pengisytiharan ketidakperlembagaan oleh beliau hendaklah terpakai secara prospektif, iaitu hukuman sebat yang belum dilaksanakan tidak sepatutnya dijalankan, dan tiada lagi hukuman sedemikian boleh dikenakan di bawah peruntukan undang-undang yang berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu tidak terpakai kepada hukuman sebat di bawah undang-undang Syariah, sebat disiplin di sekolah, atau hukuman fizikal munasabah oleh ibu bapa di rumah kerana perkara tersebut tidak dibangkitkan dalam permohonan semakan berkenaan.

Pada asalnya, Mohd Helmi dan Kumanaan dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan pengedaran dadah, manakala Sivachandran berdepan hukuman mati bagi kes bunuh. Di bawah Akta Kajian Semula Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, hukuman mereka telah diringankan kepada penjara 30 tahun bersama hukuman sebat.

Di bawah hukuman yang disemak itu, Mohd Helmi dan Kumanaan masing-masing dikenakan 24 sebatan, manakala Sivachandran dikenakan 12 sebatan.

Pada prosiding hari ini, ketiga-tiga pemohon diwakili peguam N. Surendran, Latheefa Koya, Shahid Adli Kamaruddin, Mahajoth Singh, Zaid Abd Malek dan Rajesh Nagarajan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz dan Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan.

Peguam M.M. Athimulan dan Chan Yen Hui hadir bagi mewakili Majlis Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top