puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Bell Ngasri menasihati orang ramai agar tidak menyelar semua anak seni sebagai sombong, sebaliknya perlu memahami situasi yang dihadapi mereka.
Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 46, berkata dia tidak mahu mencampuri urusan orang lain, namun berpendapat netizen perlu melihat dari sudut yang lebih luas sebelum menjatuhkan sesuatu kesalahan.
“Kadang-kadang netizen kena faham keadaan mereka (artis). Jangan salahkan artis semata-mata kerana ada masanya kami sangat penat.
“Macam saya sendiri, habis kerja lewat malam dan pagi-pagi sudah kena ada di lokasi untuk penggambaran. Dalam keadaan belum makan dan perlu fokus bekerja, saya tetap cuba melayan sesiapa yang ingin ambil gambar dengan saya,” katanya.
Bell berkata demikian ketika ditemui dalam tinjauan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di lokasi penggambaran Supertelefilem Bintang Artis Veteran (STAR) Dana Kandungan Kreatif di Telatin Mewah, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia secara peribadi seorang yang gemar melayan peminat, malah menganggap ia sebagai satu rezeki apabila keramahannya dihargai.
“Saya antara artis yang suka melayan orang. Sebentar tadi pun, ada orang belanja saya minum hanya kerana saya bergambar dengannya. Alhamdulillah, itu rezeki yang Tuhan bagi.
“Saya sentiasa mahu bertemu peminat di mana-mana majlis, cuma kadang-kadang ada hadnya kerana tuntutan kerja lain. Jika terpaksa beredar, saya akan maklumkan dengan cara baik dan memohon maaf,” katanya.
Mengulas mengenai sikap segelintir artis terutama muka baharu yang didakwa sombong, Bell berpendapat mereka mungkin kurang pengalaman dalam mengendalikan peminat-peminat yang mengenali mereka.
“Sebagai seorang artis, kita ada tanggungjawab kerana kita sudah jadi ‘hak’ masyarakat. Tanggungjawab itu perlu diselesaikan.
“Kadang-kadang bila baru bermula dan terus popular, mungkin mereka rasa ngeri atau terkejut bila dikejar ramai orang. Berilah mereka masa dan peluang, jangan terus dihentam,” katanya.
Katanya, orang ramai perlu mempunyai empati kerana artis juga manusia biasa yang mempunyai tahap kepenatan tersendiri.
“Tolonglah faham, mungkin mereka dalam keadaan penat atau ada masalah lain. Maafkanlah mereka.
“Janganlah disebabkan kesilapan seorang artis, semua artis lain turut terpalit sama sedangkan bukan semua begitu,” kongsinya.
Terdahulu, tular di platform Threads apabila ada individu yang mendakwa ada sesetengah artis yang bersikap sombong apabila bertemu peminat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




