am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor memulakan penjualan minyak masak paket bersubsidi yang direkod aplikasi mobil sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di 29 lokasi ‘Point of Sales’ (POS) di bawah fasa kedua Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, Johor adalah negeri pertama menggunakan aplikasi eCOSS di peringkat pengguna.
Katanya aplikasi eCOSS berfungsi merekodkan semua transaksi jualan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) bermula daripada pengilang, pembungkus, pemborong, peruncit sehingga pembelian oleh pengguna.
“Program rintis aplikasi eCOSS di negeri Johor sebelum ini dimulakan di peringkat Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan kini diperluaskan ke peringkat pasar raya yang terbabit sebagai POS dalam program Agihan Minyak Masak Bersubsidi di Johor.
“Pelaksanaan aplikasi ini akan memperkukuh pemantauan rantaian bekalan minyak masak bersubsidi, dari proses pengedaran sehingga ke pengguna akhir dengan pembelian terhad kepada tiga paket setiap transaksi.
“Sekaligus mengurangkan ketirisan dan memastikan bekalan itu sampai kepada golongan sasar iaitu rakyat Malaysia.
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aplikasi mobil eCOSS ini, KPDN Johor akan menempatkan pegawai di kaunter jualan di kesemua 29 pasar raya yang terbabit selama lima hari bermula 11 hingga 15 Ogos ini,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan aplikasi eCOSS di Pasaraya Maslee B5 di sini, hari ini.
Katanya menerusi sistem itu bekalan minyak masak bersubsidi akan dibekalkan secara berkala oleh 19 syarikat pembungkus dan pemborong bagi memastikan ketersediaan dan capaian berterusan di peringkat daerah, khususnya untuk kegunaan isi rumah B40.
“Aplikasi ini akan mengukuhkan lagi pemantauan rantaian bekalan pasaran bersubsidi dan proses pengagihan sehinggalah ke pengguna akhir.
“Jumlah bekalan 3.3 juta paket minyak masak bersubsidi itu sepatutnya mencukupi, tetapi kami mendapat maklum balas sebelum ini daripada rakyat adakala bekalan itu tidak cukup di kawasan dan tempat penjualan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




