Miami: Bekas juara dunia heavyweight, Anthony Joshua, menumbangkan personaliti YouTube yang beralih ke dunia tinju, Jake Paul, menerusi kemenangan knock out (KO) dalam pertarungan kontroversi yang disokong Netflix di Miami.
Joshua, juara dunia dua kali, berdepan kesukaran pada awal perlawanan menentang lawan yang jauh kurang berpengalaman, namun kelebihan saiz dan kekuatan akhirnya menjadi pemisah dalam pertarungan lapan pusingan itu.
Aksi di Kaseya Center itu disifatkan hambar dan kadang kala mencetuskan kekecohan, apabila Paul beberapa kali tumbang ke kanvas serta bergelut di kaki Joshua, walaupun kedua-duanya dilaporkan berkongsi habuan mencecah AS$184 juta (RM750 juta).
Pada satu ketika, pengadil Christopher Young dilihat hilang sabar apabila memberi amaran kepada kedua-dua petinju pada pusingan keempat: “Peminat tidak membayar untuk melihat karut seperti ini.”
Ketika Paul mula keletihan, Joshua meningkatkan tekanan dan menjatuhkan petinju Amerika Syarikat itu dua kali pada pusingan kelima sebelum menamatkan pertarungan pada pusingan keenam.
Joshua menolak Paul ke penjuru gelanggang, melakukan satu tumbukan kiri padu sebelum melepaskan tumbukan kanan tepat ke dagu yang menyebabkan Paul rebah tidak sedarkan diri.
“Ia bukan persembahan terbaik,” akui Joshua, 36.
“Namun sasaran saya jelas iaitu untuk mengunci Jake Paul dan menyakitkannya.
“Itu yang diminta sebelum pertarungan dan ia bermain di fikiran saya. Ia mengambil masa sedikit lebih lama daripada jangkaan, tetapi tumbukan kanan itu akhirnya menemui sasaran.”
Joshua turut memuji ketahanan Paul kerana mampu bertahan hingga hujung pertarungan.
“Saya hormati dia. Dia bangun berkali-kali,” kata Joshua.
“Ia sukar buatnya di dalam gelanggang, tetapi dia terus cuba mencari jalan. Itu memerlukan keberanian sebenar.”
Paul, yang mulutnya berdarah selepas serangan terakhir Joshua, percaya rahangnya patah namun tetap berpuas hati dengan persembahannya.
“Ia menyeronokkan. Saya beri segalanya,” kata Paul.
“Saya rasa rahang saya patah. Tetapi Anthony adalah antara yang terbaik. Saya akan kembali dan menjuarai gelaran dunia.
“Sejujurnya saya keletihan, sukar mengendalikan berat badannya. Dengan kecergasan lebih baik, mungkin saya boleh terus bertahan. Tetapi dia memang memukul dengan sangat kuat.”
Pertarungan khas penstriman itu berlangsung lebih setahun selepas Paul menentang Mike Tyson, 58, dalam aksi Netflix yang menerima kecaman hebat, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai pihak susulan jurang pengalaman dan fizikal antara kedua-dua petinju.
Namun KO pantas yang dijangka ramai pada pusingan awal tidak berlaku apabila Paul bertahan dengan berusaha kekal di luar jarak serangan juara Olimpik 2012 itu.
Joshua, yang kembali beraksi selepas berehat 15 bulan, tetap kelihatan lebih berbahaya sepanjang pertarungan, mendaratkan 48 daripada 146 tumbukan berbanding hanya 16 tumbukan berjaya dilakukan Paul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




