am@hmetro.com.my
Seremban: Sebanyak 11 bas perkhidmatan awam dikesan tidak selamat untuk beroperasi selepas pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Pra-Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, tindakan tegas diambil dengan mengeluarkan notis larangan operasi serta-merta terhadap semua bas berkenaan bagi mengelakkan risiko kemalangan akibat kegagalan mematuhi standard keselamatan jalan raya.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas 500 bas di terminal dan depoh seluruh negara sejak 17 Mac mendapati sebahagian kenderaan tidak diselenggara dengan baik, sekali gus membahayakan keselamatan penumpang.
“JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Santuni Ramadan di Masjid An-Munawarah di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli.
Loke berkata, seramai 2,500 anggota penguat kuasa JPJ akan bertugas sepanjang HRA bermula 24 Mac hingga 8 April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd