Sembilan jenama tempatan diolah jadi perisa aiskrim edisi terhad Inside Scoop

Sembilan jenama tempatan diolah jadi perisa aiskrim edisi terhad Inside Scoop

SEMBILAN jenama tempatan diolah menjadi perisa aiskrim edisi terhad Inside Scoop yang diinspirasikan daripada produk ikonik, cita rasa unik dan memori yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Kempen tahunan Lokal Legends 2026 berkenaan bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan, bagi meraikan jenama tempatan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup rakyat Malaysia.

Pengasas Bersama Inside Scoop, Edmund Tan berkata, kesemua sembilan perisa eksklusif boleh didapati untuk tempoh terhad, dengan setiap perisa direka khas untuk membawa pelanggan mengimbau semula cita rasa yang cukup sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada tahun 2024, Lokal Legends telah berkembang menjadi antara kempen tahunan yang paling dinanti-nantikan.

“Setiap tahun, kami melihat ramai pelanggan teruja untuk meneka jenama yang bakal menyertai Lokal Legends. Ada yang berkongsi senarai jenama pilihan mereka di media sosial, malah ada yang menantikan pengumuman rasmi berbulan-bulan lebih awal.

“Bagi kami, keterujaan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan jenama tempatan.

“Jenama-jenama ini bukan sahaja menemani kehidupan seharian kita, malah turut menjadi sebahagian daripada pelbagai kenangan yang dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan. Melalui Lokal Legends, kami mahu meraikan hubungan tersebut dengan cara yang menyeronokkan dan dekat dengan hati rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Jenama dan perisa diperkenalkan adalah, Tiramisu Almond Chocolate, BOH Teh Tarik, Farm Fresh Pistachio Yoghurt Crunch, Mister Potato Choc Potato Chips N’ Cream, Oriental Kopi Kaya Butter Toast, Secret Recipe Chocolate Indulgence®, Thumbs Peanut Butter JellyBeryl’s dan ZUS Coffee Ube Latté.

Dalam pada itu, jenama-jenama yang bekerjasama dalam Lokal Legends tahun ini turut berkongsi semangat yang sama, masing-masing membawa identiti, kisah dan cita rasa tersendiri yang telah menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Secret Recipe, Patrick Sim, pihaknya sangat teruja untuk membawa kembali aiskrim Chocolate Indulgence yang cukup digemari menerusi Lokal Legends tahun ini.

“Kedua-dua pihak telah berganding bahu menghasilkan 13 versi aiskrim ini bagi memastikan hasil akhirnya benar-benar menepati cita rasa yang diingini.

“Jadi, peminat boleh menikmati aiskrim ini dengan yakin kerana inilah versi terbaik yang kami pernah hasilkan,” katanya.

Ketua Pemasaran ZUS Coffee, Jennifer Sim pula berkata, sambutan luar biasa terhadap siri Ube ZUS Coffee tahun lalu membuktikan ramai pelanggan yang menggemari perisa ini.

“Tahun ini, kami amat teruja bekerjasama dengan Inside Scoop untuk membawa pengalaman menikmati Ube bukan sekadar dalam secawan minuman, tetapi juga dalam bentuk aiskrim, sekali gus memberikan komuniti ZUS cara baharu dan lebih menyeronokkan untuk menikmati salah satu perisa kegemaran mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi edisi tahun ini, Inside Scoop menghidupkan Lokal Legends bertemakan pasar raya, yang menghimpunkan kesemua sembilan kolaborasi dalam satu pengalaman yang interaktif dan penuh nostalgia.

Bersempena pelancaran kempen tersebut, cawangan Inside Scoop di Galeria SA Sentral diubah menjadi sebuah pasar raya mini bertemakan Lokal Legends, membolehkan para tetamu meneroka setiap kolaborasi dengan lebih dekat, mengenali kisah di sebalik jenama-jenama yang terlibat serta menikmati pelbagai aktiviti dan sesi mencuba perisa.

Untuk mereka yang ingin merasai semua koleksi, 9-Scoop Party Pack turut diperkenalkan, menampilkan kesemua sembilan perisa dalam satu kotak.

Setiap pembelian turut didatangkan dengan Ice Cream Passport Edisi Khas Lokal Legends serta koleksi pelekat eksklusif.

Lokal Legends 2026 akan mula ditawarkan di semua cawangan Inside Scoop yang mengambil bahagian di seluruh negara bermula 10 Ogos 2026.

Scroll to Top