Juara peringkat pertama TdF tarik diri selepas kemalangan ngeri

Juara peringkat pertama TdF tarik diri selepas kemalangan ngeri

Dunkirk: Pelumba pecut Belgium, Jasper Philipsen, terpaksa menarik diri daripada perlumbaan Tour de France (TdF) selepas terbabit dalam kemalangan berkelajuan tinggi yang mengerikan ketika saingan peringkat ketiga.

Insiden itu berlaku kira-kira 60 kilometer (km) sebelum garisan penamat di Dunkirk apabila Philipsen, bersama pelumba pecut lain, berebut mata pada zon pecutan pertengahan dengan kelajuan mencecah 70 km per jam.

Keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa pelumba lain tiba-tiba membelok di hadapannya, menyebabkan dia hilang kawalan.

Kemalangan itu menyebabkan jersi hijau milik raja pecut Philipsen tercabut ketika dia terseret di atas jalan raya, dengan kedua-dua bahunya mengalami luka teruk akibat geseran.

Beberapa rakan sepasukan Philipsen dari pasukan Alpecin-Deceuninck berhenti untuk membantunya, namun kemudiannya diminta meneruskan perlumbaan selepas pasukan menyedari kecederaan pelumba berusia 27 tahun itu terlalu serius untuk meneruskan saingan.

Philipsen sebelum ini memenangi jersi hijau selaku raja pecut pada edisi 2023 dan mencatat 10 kemenangan peringkat sepanjang penyertaannya dalam TdF.

Insiden itu satu tamparan hebat buat pasukan Alpecin yang meletakkan harapan tinggi kepada Philipsen untuk mengulangi pencapaian cemerlang tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top