Jumlah mangsa banjir di Johor turun, enam daerah masih terjejas

Jumlah mangsa banjir di Johor turun, enam daerah masih terjejas

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Jumlah mangsa banjir di negeri ini menunjukkan penurunan walaupun sedikit, pada pagi ini berbanding semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 pagi tadi, seramai 3,480 mangsa banjir daripada 960 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 3,498 orang daripada 969 keluarga pada jam 4 petang semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kini hanya tinggal enam daerah yang terjejas berbanding tujuh pada semalam dan 35 PPS masih dibuka berbanding 38 semalam.

“Semua PPS di daerah Muar sudah ditutup dan kini hanya enam daerah saja yang masih mencatatkan mangsa banjir iaitu Tangkak, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi.

“Tinggal lagi 35 PPS masih dibuka menempatkan semua mangsa banjir yang kediamannya masih terjejas,” katanya.

Beliau berkata, Mersing mencatat jumlah mangsa banjir yang paling ramai iaitu 1,818 orang daripada 519 keluarga diikuti Kluang dengan 194 keluarga terdiri daripada 735 mangsa dan Kota Tinggi, 407 orang mangsa daripada 106 keluarga.

Sehingga 8 pagi tadi, daerah-daerah yang terjejas banjir masih mengalami hujan kecuali Segamat.

Sementara itu, terdapat dua jalan yang masih ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Felda Medoi di Segamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd