Junita pejuang kanser akhirnya gengam ijazah doktor falsafah

Junita pejuang kanser akhirnya gengam ijazah doktor falsafah

BATU PAHAT – Ketika disahkan positif kanser, Junita Abd. Rahman, 43, terasa dunia gelap seketika.

Dalam keadaan terkejut dan pelbagai perasaan timbul, wanita ini tidak mahu menanggung keadaan seorang diri sebaliknya berkongsinya dengan orang sekeliling – suami, keluarga dan penyelia yang memantau perjalanannya untuk menggenggam gelaran doktor faksafah (PhD).

Graduan Ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini percaya dengan berinteraksi dan berkomunikasi, ia akan memudahkan urusannya kelak.

Junita disahkan menghidapi kanser payu dara tahap dua pada tahun 2018 dan ketika itu sedang meneruskan pengajian.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bukan mudah namun dengan beban yang saya rasa, saya bertekad untuk menjalani rawatan yang disyorkan termasuk menjalani tiga kali pembedahan.

“Selepas pembedahan saya perlu menjalani enam sesi kimoterapi, 20 sesi radioterapi dan mengambil pil hormon selama lima tahun,” katanya.

Berdepan dengan diri yang sakit, tugas seorang isteri dan pelajar bukan mudah, akuinya.

Namun, Junita berkata, dia sentiasa berbicara dan mengadu dengan Allah.

“Saya sentiasa bercakap dengan Allah kerana Dia yang maha mendengar, selain berbincang dengan orang yang rapat dengan kita,” katanya.

Junita berkata, dia beruntung kerana orang sekelilingi amat memahami cabaran yang perlu dilaluinya dan mereka banyak memberi sokongan moral kepadanya sepanjang tempoh pengajian dan rawatan.

”Ketika menjalani rawatan, saya tetap berusaha menyiapkan tesis walaupun kadang kala hanya mampu menulis satu muka surat sahaja,” tambah beliau.

Tidak cukup dengan itu, sebelum pendaftaran ke program ijazah sarjana, ibu kepada empat anak ini turut menceburi perniagaan kedai dobi.

“Melakukan kerja-kerja di kedai (dobi) menjadi terapi buat saya walaupun terpaksa membahagi masa antara tugas sebagai seorang isteri, ibu dan juga pelajar.

”Kini genap 10 tahun saya menjalankan perniagaan ini yang bermula dengan menyewa setengah lot kedai sehinggalah ke satu lot kedai,” sambungnya lagi.

Tambah Junita, jatuh bangun dalam perniagaan itu biasa kerana kedai dobinya juga turut terkesan dengan
kehadiran pandemik Covid-19 namun terus bangkit dan bertahan sehingga hari ini.

Kini setelah melalui pelbagai cabaran dan halangan, akhirnya Junita mampu menarik nafas lega kerana
dapat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah.

Lebih manis lagi, beliau turut diisytiharkan bebas daripada penyakit kanser yang menjadi pembunuh nombor satu wanita seluruh dunia. – MalaysiaGazette

Scroll to Top