
Laporan Sinar Harian pada Selasa dan Siew Ki
SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menegaskan prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama dalam melaksanakan tanggungjawab berkhidmat kepada seluruh rakyat.
Beliau berkta, sebagai wakil rakyat, lima prinsip Rukun Negara sentiasa dijunjung dan diamalkan dalam setiap tindakan demi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia terus diutamakan.
Menurutnya, prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan menjadi asas penting dalam memikul amanah yang diberikan rakyat.
“Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
“Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Sultan Selangor menyarankan Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.
Siew Ki sebelum ini semasa membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.



