am@hmetro.com.my
Ipoh: Jurang antara negara terkaya dan termiskin di samping konflik antarabangsa yang semakin meningkat, menampakkan masyarakat Islam global belum bersatu dan berdiri bersama, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, sesetengah daripada masyarakat Islam berkembang maju manakala yang lain mengalami kesusahan dan kekurangan yang mengerikan, sekali gus menunjukkan masyarakat Islam masih tidak berdiri bersama.
Titah baginda, perlu difikirkan bagaimana untuk boleh membantu ahli komuniti antarabangsa paling terdedah khususnya mereka yang dibelenggu kemiskinan dan kesusahan serta kanak-kanak daripada semua latar belakang, dengan tidak seharusnya boleh berpuas hati untuk meninggalkan walau satu komuniti global di belakang.
“Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (HDR UN) mendedahkan angka terkini yang mengandungi amaran mengerikan kerana, walaupun pembangunan manusia seperti yang diukur oleh Indeks Pembangunan Manusia (HDI) mungkin sudah bertambah baik sejak 2014, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan beberapa ‘trend’ membimbangkan.
“Di seluruh dunia, pembangunan manusia hari ini mengikuti trajektori yang lebih lemah berbanding unjuran pra-Covid. Kebimbangan sebenar ialah pemulihan HDI terbukti sangat tidak sama rata, jurang antara negara yang mempunyai tahap pembangunan terendah dan tertinggi semakin melebar, dengan negara di hujung berada bawah indeks berisiko ketinggalan.
“Lebih-lebih lagi, laporan terbaharu menunjukkan trend kelaparan global sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kekurangan zat makanan mencapai tahap yang tidak dilihat selama lebih sedekad,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama diraja sempena merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Titah baginda, menjadi kewajipan untuk membantu manusia sejagat tanpa mengira anutan kepercayaan, seperti diajarkan Al-Quran iaitu sesiapa yang menyelamatkan nyawa walau seorang manusia seolah-olah dia sudah menyelamatkan seluruh manusia.
Titah baginda, walaupun terdapat beberapa penambahbaikan dalam penunjuk HDI sepanjang dekad yang lalu, ia tidak jauh lebih baik memandangkan lebih separuh daripada negara di dunia ini yang dikategorikan sebagai Pembangunan Manusia Rendah (LHD) menerusi laporan terbaharu UN, merupakan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Titah Sultan Nazrin, populasi majoriti Islam masih banyak diwakili dalam kalangan termiskin di dunia, selain kajian yang menunjukkan bahawa walaupun di negara dengan Pembangunan Manusia Sangat Tinggi (VHHD) namun penduduknya yang Islam sering hidup dibelenggu kekurangan.
“Di United Kingdom (UK) sebagai contoh, kira-kira separuh daripada umat Islam dianggarkan hidup dalam kemiskinan berbanding hanya 18 peratus penduduk secara keseluruhan.
“Adalah tidak wajar jika begitu ramai saudara se-Islam di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk menampung keperluan asas harian mereka. Kita tidak boleh berdiri bersama jika ada di antara kita berjuang untuk terus hidup,” titah baginda.
Baginda bertitah, mengambil tema ‘berdiri bersama’ sempena persidangan WCIT 2024, sewajarnya umat Islam sebagai sebahagian komuniti manusia global merasai ‘kesakitan’ yang sedang dirasai sama ada dalam kalangan saudara seagama seperti umat Islam di Gaza dan Sudan, mahupun bukan seagama seperti konflik di Ukraine.
“Di seluruh dunia sama ada di Gaza atau Sudan, saudara Islam kita sedang dalam kesakitan, dan kita mesti merasai kesakitan itu bersama mereka, dan kita mesti mengiktiraf kesakitan orang bukan Islam juga, dalam situasi konflik seperti Ukraine, sambil kita berusaha untuk memahami kemanusiaan yang benar-benar global,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd
