NEW DELHI – Namanya mungkin belum mampu menandingi populariti Justin Bieber, namun personaliti media sosial India, Suraj Chavan mencuri perhatian selepas penampilan dan gaya rambutnya dikatakan mirip bintang pop Kanada itu sehingga dijuluk sebagai ‘Justin Bieber India’.
Di sebalik penampilan yang menjadi bualan, perjalanan hidup Suraj jauh daripada dunia glamor.
Beliau berasal dari Modhave di Baramati, Maharashtra dan kehilangan kedua-dua ibu bapanya ketika masih muda. Suraj mempunyai lima kakak dan dilaporkan dibesarkan oleh kakaknya selepas kehilangan ibu bapa.
Kesempitan hidup menyebabkan pendidikannya terhenti selepas darjah lapan sebelum beliau bekerja sebagai buruh harian dengan pendapatan kira-kira 300 rupee (RM12.77) sehari.
Media sosial ubah nasib

Suraj Chavan. Foto: Agensi
Kehidupan Suraj mula berubah selepas beliau menghasilkan video pendek menerusi TikTok dengan gaya spontan dan bersahaja.
Selepas platform itu diharamkan di India pada 2020, beliau meneruskan penghasilan kandungan menerusi Instagram dan YouTube sehingga membina pengikut yang ramai.
Popularitinya melonjak apabila menyertai Bigg Boss Marathi musim kelima sebelum muncul juara program realiti popular itu pada Oktober 2024.
Kemenangan tersebut membuka pintu lebih luas dalam industri hiburan apabila beliau kemudian membintangi filem Marathi, Zapuk Zupuk.
Penampilannya khususnya gaya rambut turut dibandingkan dengan imej Justin Bieber ketika penyanyi itu masih muda, sekali gus mencetuskan jolokan ‘Justin Bieber India’ dalam kalangan pengguna internet.
Tular ‘lelaki paling kacak India’
Nama Suraj sekali lagi menjadi bualan pada awal 2026 apabila tular dakwaan di media sosial dan beberapa laporan dalam talian yang menyebutnya sebagai ‘lelaki paling kacak di India’.
Dakwaan itu bagaimanapun bukan pengiktirafan rasmi.
Semakan media India termasuk Mint dan Financial Express mendapati tiada pertandingan, tinjauan profesional atau undian nasional yang pernah menobatkan Suraj dengan gelaran tersebut.
Namun, perdebatan mengenai dakwaan itu menyebabkan namanya semakin mendapat perhatian pengguna media sosial, termasuk di luar India.
Kini bergelar bapa

Keluarga terdekat ketika datang melawat anak perempuan Suraj. Foto: Agensi
Di sebalik populariti tersebut, kehidupan peribadi Suraj turut memasuki lembaran baharu selepas beliau berkahwin dengan Sanjana Gophane pada 29 November 2025.
Sanjana dilaporkan merupakan kenalannya sejak zaman kanak-kanak sebelum hubungan mereka berakhir di jenjang pelamin.
Kurang setahun selepas berkahwin, pasangan itu menyambut kelahiran cahaya mata pertama, seorang bayi perempuan, pada 4 September 2026.
Berita itu kembali mencuri perhatian selepas rakaman dari hospital yang memaparkan Suraj bersama isteri dan bayi mereka tersebar di media sosial.

Suraj bersama isteri ketika majlis perkahwinan mereka. Foto: Agensi
Daripada seorang buruh harian yang pernah bergelut mencari rezeki, Suraj kini menikmati kehidupan berbeza sebagai bintang media sosial, juara program realiti, pelakon dan bapa.
Jolokan ‘Justin Bieber India’ serta dakwaan sebagai ‘lelaki paling kacak India’ mungkin membantu melonjakkan namanya di internet, namun perjalanan daripada kehidupan serba sederhana kepada dunia hiburan menjadi sisi yang lebih menonjol dalam kisah Suraj Chavan. – Agensi
5 info menarik Suraj Chavan:
– Juara Bigg Boss Marathi 5 pada 2024.
– Dikenali dengan gelaran ‘Justin Bieber India’
– Popular sebagai pencipta kandungan media sosial
– Berkahwin pada 2025
– Menyambut kelahiran anak perempuan pertama pada September 2026