Paris: Enzo Fernandez menjadi pemain terbaru yang mencatat sejarah hitam apabila dibuang padang dalam aksi final Piala Dunia selepas dilayangkan kad merah ketika Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol, awal pagi tadi.
Kad merah diterima Fernandez turut menyaksikan Argentina mencipta satu lagi rekod yang tidak diingini apabila muncul negara dengan jumlah kad merah terbanyak dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia.
Berikut senarai pemain yang pernah dibuang padang dalam final Piala Dunia:
1990 – Pedro Monzon (Argentina)
Monzon hanya berada di atas padang selama 20 minit selepas masuk menggantikan pertahanan kental, Oscar Ruggeri, sebelum terjahan kerasnya ke atas penyerang Jerman Barat, Jurgen Klinsmann, mengundang kad merah.
Klinsmann terkenal dengan aksi dramatiknya apabila dijatuhkan, namun reputasi itu tidak menghalang Monzon daripada menjadi pemain pertama dalam sejarah yang dilayangkan kad merah dalam final Piala Dunia.
1990 – Gustavo Dezotti (Argentina)
Belum sempat Monzon menyejukkan badan selepas diarah keluar padang, rakan sepasukannya Gustavo Dezotti pula menerima kad kuning kedua selepas menolak pertahanan Jerman Barat, Jurgen Kohler.
1998 – Marcel Desailly (Perancis)
Di sebalik kegembiraan Perancis menjulang trofi Piala Dunia pertama hasil dua jaringan Zinedine Zidane, kad merah diterima Desailly sering dilupakan.
Dia dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-49 kerana membantah keputusan pengadil selepas didakwa mengasari Cafu.
Kesalahan ke atas pemain sama kemudian menyebabkannya menerima kad kuning kedua dan terpaksa meninggalkan padang ketika Perancis mendahului 2-0 dengan lebih 20 minit berbaki.
Desailly kemudian menceritakan dia enggan menjalani ujian doping ketika perlawanan masih berlangsung kerana terlalu bimbang pasukannya akan mensia-siakan kelebihan itu.
“Saya berkata, ‘Tidak, saya tidak mahu dikurung dalam bilik!’ Saya tidak sanggup berada di dalam bilik tanpa televisyen, tidak tahu apa yang berlaku, sambil memikirkan seluruh negara akan menyalahkan saya jika kami kalah.
“Saya benar-benar takut. Saya marah dan membuat sedikit kecoh. Saya keluar juga untuk menonton perlawanan dan akhirnya kami menang 3-0,” katanya.
2006 – Zinedine Zidane (Perancis)
Kad merah Zidane dianggap antara yang paling terkenal dalam sejarah bola sepak kerana berlaku pada perlawanan terakhir karier antarabangsanya.
Ketika Perancis dan Itali terikat 1-1 dalam masa tambahan, Zidane dan Marco Materazzi bertengkar selepas pertahanan Itali itu dikatakan mengeluarkan kata-kata menghina mengenai adik perempuan Zidane.
Zidane bertindak membalas dengan menanduk dada Materazzi. Walaupun pengadil Horacio Elizondo dan penjaga garisan tidak menyaksikan insiden itu, pegawai keempat memaklumkannya sebelum Zidane dilayangkan kad merah.
Elizondo kemudian mendedahkan dia terkejut apabila Zidane menerima keputusan itu tanpa membantah.
“Ketika saya mahu menulis namanya, dia menyentuh bahu saya dan berkata, ‘Bertenang, kad merah itu memang betul, tetapi adakah anda tidak dengar atau nampak apa yang berlaku sebelum itu?’
“Saya bertanya, ‘Apa yang berlaku?’ Namun dia hanya berpaling dan berjalan meninggalkan padang.”
Zidane melangkah keluar melepasi trofi Piala Dunia yang pernah dijulangnya pada 1998, namun kali ini Perancis tewas menerusi penentuan sepakan penalti.
Ramai tampil mempertahankannya termasuk Presiden Perancis ketika itu, Jacques Chirac, yang berkata: “Anda seorang yang berhati mulia, berjiwa kental dan berpegang kepada prinsip. Itulah sebabnya rakyat Perancis mengagumi dan menyayangi anda.”
2010 – John Heitinga (Belanda)
Final di Johannesburg dikenang sebagai antara perlawanan paling kasar dalam sejarah apabila Belanda cuba mengganggu rentak Sepanyol dengan permainan fizikal.
Pengadil dari England, Howard Webb, melayangkan 14 kad kuning sepanjang perlawanan.
Heitinga dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua, manakala pemain yang dikasarinya, Andres Iniesta, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan beberapa minit kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




