East Rutherford, Amerika Syarikat: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui Sepanyol adalah pasukan lebih baik pada final Piala Dunia 2026, namun tetap berbangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya walaupun gagal mempertahankan kejuaraan.
Argentina tewas 0-1 selepas Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 masa tambahan, ketika juara bertahan itu beraksi dengan 10 pemain susulan Enzo Fernandez dibuang padang pada masa kecederaan babak kedua.
Scaloni berkata, walaupun kecewa beliau tidak mempunyai apa-apa selain rasa bangga terhadap komitmen pemainnya sepanjang kejohanan.
“Saya sedih. Banyak perkara boleh diperkatakan mengenai bagaimana kami sampai ke final, tetapi tidak ada gunanya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada pemain-pemain ini kerana sekali lagi membawa kami ke final.
“Sepanyol memang lebih baik, itu benar. Tetapi saya akan sentiasa mengingati apa yang dicapai oleh pemain saya.
“Kami hebat ketika menang dan kami juga perlu hebat ketika kalah. Malam ini kami menunjukkan bahawa kami tahu bagaimana menerima kekalahan. Kami kalah dan kami menerimanya.
“Apabila pemain memberikan segala-galanya seperti yang mereka lakukan hari ini, mereka memberi contoh terbaik kepada rakyat dan negara. Kami perlu bangkit semula. Sukar untuk menyalahkan sesiapa apabila mereka sudah memberikan segala yang termampu,” katanya.
Scaloni turut memuji Lionel Messi yang mengharungi satu lagi kempen Piala Dunia luar biasa meskipun gagal mengakhiri karier di pentas itu dengan trofi kedua.
Messi, yang meninggalkan padang dalam keadaan menangis selepas wisel penamat, beraksi dalam final Piala Dunia ketiganya, sekali gus menyamai rekod legenda Brazil, Cafu.
Penyerang berusia 39 tahun itu menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan dan beraksi dalam setiap minit perlawanan peringkat kalah mati buat Argentina.
“Saya belum bercakap dengannya mengenai masa depannya, tetapi bagi saya ia sangat jelas bahawa dia akan terus bermain sehingga dia sendiri memutuskan untuk berhenti.
“Saya harap semua orang berbangga dengannya dan segala yang sudah dicapainya kerana dia adalah pemain bola sepak terbaik yang pernah menjejakkan kaki di atas padang.
“Saya langsung tidak ragu mengenainya. Apa yang dilakukannya pada Piala Dunia kali ini sangat luar biasa, begitu juga segala yang dilakukannya sebelum ini,” katanya.
Messi sebelum ini melengkapkan koleksi kejuaraan bersama Argentina dengan memenangi Copa America pada 2021 dan 2024 serta Piala Dunia 2022, selepas terlebih dahulu mengharungi karier penuh gemilang di peringkat kelab.
Sementara itu, Scaloni enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama Argentina dan mengakui memerlukan masa untuk membuat keputusan.
“Saya akan berbincang dengan presiden (Persatuan Bolasepak Argentina). Saya rasa adil jika saya diberi sedikit masa untuk berfikir.
“Saya tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini dan ia sesuatu yang cukup indah.
“Untuk meneruskan tugas, anda memerlukan banyak perkara. Anda perlu menyegarkan semula fikiran, membina semula pasukan seperti ini, dan itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya sebelum gagal menahan sebak lalu meninggalkan sidang media.
© New Straits Times Press (M) Bhd




