Kadar pengangguran di Malaysia semakin berkurangan

Kadar pengangguran di Malaysia semakin berkurangan

zaky@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sektor tenaga buruh negara semakin pulih pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang, manakala guna tenaga terus meningkat, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata menjelang akhir 2021, kebanyakan negeri berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi, sekali gus mendorong kedudukan tenaga buruh untuk pulih secara sederhana.

“Hal ini memacu guna tenaga untuk terus mengalami pertumbuhan yang lebih baik pada Disember 2021 sementara pengangguran terus menurun,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Keempat 2021 yang diterbitkan hari ini.

Mohd Uzir berkata, pada Disember 2021, penduduk bekerja terus meningkat, dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang dari 15.61 juta orang pada November.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, bilangan penganggur terus menurun sebanyak satu peratus kepada 687,600 orang.

“Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat kepada 69 peratus, iaitu tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020, dengan bilangan tenaga buruh pada Disember 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.34 juta orang.

“Situasi ini memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh, sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, sepanjang tahun 2021, pasaran buruh Malaysia kekal dalam situasi yang mencabar berikutan krisis kesihatan yang berpanjangan.

Beliau berkata, berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada 2021 meningkat 0.2 mata peratus kepada 68.6 peratus berbanding 68.4 peratus pada 2020.

Justeru, katanya, kadar pengangguran pada 2021 naik kepada 4.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2020, sekali gus menjadikan kadar pengangguran tertinggi sejak 1993.

“Bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 3.0 peratus kepada 15.4 juta orang. Peningkatan guna tenaga adalah disebabkan oleh bilangan penduduk bekerja yang rendah pada 2020.

“Pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial menjelang separuh tahun kedua tahun dikaji juga turut menyumbang kepada pertumbuhan dalam guna tenaga. Selain itu, usaha melawan pandemik terus berpanjangan dalam tahun 2021.

“Justeru, ia menyebabkan pasaran buruh kekal dalam situasi yang mencabar, sekali gus mempengaruhi bilangan penganggur untuk terus meningkat bagi tahun kedua kepada 741,400 orang,” katanya.

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh, beliau berkata, di Malaysia, kesan daripada pandemik menyebabkan pemulihan ekonomi sedikit terganggu dan ia juga turut menjejaskan pemulihan semula keseluruhan pasaran buruh memandangkan pemulihannya berkadar terus dengan prestasi ekonomi.

“Perkembangan positif ini memberi isyarat bahawa pasaran buruh dijangka akan terus bertambah baik pada bulan-bulan yang akan datang, namun tidak mengambil kira cabaran varian baharu dan lebih berbahaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top