norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Kaka Azraff, 36, memilih meraikan Aidilfitri secara sederhana bersama keluarganya dan tidak lagi berbelanja berlebihan sebagaimana yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff berkata, sambutan lebarannya seisi sekeluarga pada tahun ini biasa saja dan ringkas kerana anak-anak pun semuanya lelaki dan cukup hanya berbaju Melayu.
“Mengenai sambutan Aidilfitri ini, saya ada juga berfikir apabila mendapati setiap tahun macam terlalu beriya-iya sangat berbelanja. Jadi, saya rasa nak ingatkan semua peminat agar berpada-padalah berbelanja.
“Sebab niat kita nak beraya itu mungkin untuk meraikan kejayaan kita dah berjaya berpuasa sebulan, tapi kadang-kadang itu dah jadi lain bila terlalu sangat membuat persediaan.
“Jadi, tahun ini saya dan keluarga meraikan hari raya biasa saja sebab kemeriahan Aidilfitri itu saya rasa tak perlu pada baju pun, tapi cukup kita punya ‘mood’ dan bersama dengan orang tersayang,” katanya.
Menurut Kaka lagi, sebelum ini kadang-kadang dirinya berasa tertekan juga apabila melihat orang lain sudah sibuk membuat persiapan seperti membeli baju raya dan sebagainya.
“Sebab itu, Aidilfitri kali ini saya memang beritahu pada diri sendiri jangan (beriya berbelanja), kita taknak membazir, kita rileks saja dan taknak terikut sangat dengan ‘trend’.
“Cukuplah, kita ukur baju di badan sendiri. Tak perlulah untuk bermewah-mewah sangat,” katanya yang beraya di Petaling Jaya dan Klang, Selangor.
Ujar penyanyi lagu Gila ini, sambutan Aidilfitri baginya sekarang lebih kepada anak-anak dan empat anak saudaranya yang masih kecil tetapi sudah kehilangan ibu tercinta.
“Sejak sudah tiada ibu bapa dan tahun lalu pula, saya kehilangan kakak yang meninggal dunia tiga hari sebelum Ramadan kerana sakit, jadi perasaan nak raya itu dah tidak terasa sangat.
“Tapi, saya hanya nak buat yang terbaik untuk anak-anak saya dan juga empat anak saudara agar mereka gembira serta tidak berasa kekurangan tanpa ibu di sisi,” katanya.
Terdahulu, Kaka mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Adam Azriff pada 14 Disember 2018 dan. dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 6, Aryan, 4, serta Atta Adam, 2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




