Kaka Azraff dan Jaz berganding dalam Karma

Kuala Lumpur: Menyahut cabaran keluar dari zon selesa, dua penyanyi dari Malaysia dan Brunei yang sinonim dengan irama pop, tampil mempertaruhkan single balada.

Lagu diberi judul Karma ternyata membawa angin baharu dalam profil seni dua penyanyi ini.

Akhirnya, karya sentuhan Farouk Roman dengan lirik dihasilkan Aisha Retno, meyakinkan Kaka Azraff dan penyanyi yang ketika ini bertapak di Indonesia, Jaz, mencabar keupayaan diri.

Berkongsi mengenai single yang menjadi runut bunyi drama rantai popular, Takdir Yang Tertulis, Kaka atau nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 31, bersyukur mampu menonjolkan sisi berbeza dalam nyanyiannya.

“Ini kali pertama saya menyanyikan lagu balada… Ia sangat berbeza dengan lagu yang pernah dihasilkan.

“Saya tidak pernah terbayang akan menyanyikan lagu begini. Saya cabar diri dan jujurnya, sebaik mendengar saja ‘demo’ lagu ini, saya jatuh cinta.

“Namun, saya akui hendak menghayati dan meletakkan emosi dalam lagu ini paling mencabar.

“Ketika proses rakaman, berulang kali saya bertanya kepada Farouk, sama ada nyanyian saya okay atau tidak,” katanya kepada BH Online.

Kaka gementar tidak dapat mencurahkan emosi yang baik dalam single Karma.

“Mujur saya dibantu Afif Tirmizie selaku pengarah vokal untuk menjiwai lagu ini dengan baik.

“Individu di belakang tabir seperti merekalah yang banyak membantu saya,” katanya.

Kaka mengaku Karma menonjolkan sisi dirinya yang berbeza selepas sedekad bergelar anak seni.

Tidak hairanlah, Kaka berharap pertaruhannya itu mendapat sambutan positif peminat dan membuka laluan untuk mengetengahkan nama di pasaran Indonesia.

“Sebenarnya, sudah lama saya memasang impian menembusi pasaran Indonesia.

“Jadi, saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan Jaz. Saya harap lagu ini dapat didengari di luar Malaysia terutama Indonesia,” katanya.

Mengenai proses rakaman single itu, Kaka berkata, biarpun dibuat berasingan, ia tidak menghalang mereka menghasilkan lagu yang baik.

“Sebenarnya, saya tidak berjumpa dan berhubung dengan Jaz. Kami merakamkan lagu ini secara berasingan berikutan pandemik COVID-19.

“Jaz terima audio rakaman vokal saya dan Alhamdulillah, semuanya baik,” katanya sambil menambah rakaman video muzik Karma juga dibuat secara berasingan.

Kaka cukup berterima kasih kepada Jaz dan Sony Music Malaysia serta Indonesia yang merealisasikan projek itu.

Jaz pula sangat berbesar hati diberi peluang berganding dengan Kaka dalam projek rakaman single duet itu.

“Saya sangat berterima kasih dengan peluang diberi Sony Music Malaysia untuk berduet dengan Kaka.

“Saya sudah lama mengenali Kaka. Saya pernah menonton persembahan Kaka mendendangkan lagu Bukan Hal Aku, tidak lama dulu.

“Ini suatu penghormatan yang sangat bermakna buat saya. Projek ini sangat berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.

Seperti Kaka, Jaz atau nama sebenar, Muhammad Abdul Aziz Mubarak menyifatkan penghasilan Karma sebagai transformasi penting dalam karier nyanyiannya.

Sudah biasa dengan genre ringan, lagu Karma memperlihatkan sisi baharu dalam profil nyanyiannya.

Jaz tidak menafikan rakaman single berkenaan membawa cabarannya tersendiri.

“Sama seperti Kaka, ini kali pertama saya menyanyikan lagu balada. Sebelum ini, saya banyak menyanyikan lagu pop.

“Kebiasaannya, lagu saya berentak santai dan riang.

“Dengan Karma, saya lakukan sesuatu yang di luar genre. Jadi, ia suatu cabaran buat saya kerana vokal tidak terlalu tinggi,” katanya.

Jaz mengaku bahagian paling sukar dalam proses rakaman adalah mendapatkan harmoni antara dua vokal.

“Terima kasih kepada pengarah vokal, Danish yang banyak membantu melancarkan nyanyian saya,” katanya.

Jaz juga berharap dapat melebarkan sayap di Malaysia melalui projek kolaborasi itu.

“Mudah-mudahan lagu ini diterima baik pendengar di Malaysia dan Brunei.

“Saya percaya orang Brunei menonton semua drama Malaysia jadi diharapkan lagu ini diterima,” katanya.

Jaz antara penyanyi muda di Indonesia yang banyak mendominasi carta muzik di negara itu. Jaz mula mendapat perhatian selepas muncul dengan lagu berjudul Dari Mata pada 2016.

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top