am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerana terdesak, seorang wanita hanya mampu berkomunikasi dengan adiknya yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja, melalui telefon dengan menggunakan bahasa Bajau, satu-satunya cara untuk mengelak perbualan mereka difahami ahli sindiket yang sentiasa mengawasi.
Meena, 30, yang berasal dari Sabah berkata, adiknya yang sebelum ini bekerja membaiki telefon di Bandar Bukit Tinggi, Klang, dipujuk oleh seorang rakan wanita yang dipercayai ejen sindiket untuk melancong ke luar negara, namun akhirnya terperangkap dalam sindiket penipuan.
“Adik saya pergi ke Kemboja menaiki pesawat pada 6 Februari lalu. Selepas tiga hari, dia hubungi saya dan beritahu dia sudah mula bekerja. Tapi apabila saya tanya rakannya, dia kata mereka bercuti. Sampai sekarang adik saya tidak pulang.
“Bila saya tanya lagi, rakannya cuma kata adik saya ada berhutang, tapi tak pernah beritahu berapa jumlahnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Menurut Meena, setiap kali menghubungi adiknya, suara adiknya itu kedengaran lemah dan takut kerana sindiket berkenaan sentiasa berada di sisi adiknya itu.
“Adik kata dia sangat penat, tidak cukup tidur dan makan. Dia mahu balik, tapi dia takut. Adik hanya sempat maklumkan lokasi dia berhampiran sebuah hospital bernama Bethune Cambodia China First Hospital.
“Saya tak mahu ada masalah dengan sesiapa. Saya cuma hendak adik saya balik,” katanya.
Katanya, wanita yang membawa adiknya itu dikatakan pernah ditahan di Macau atas kesalahan penipuan dalam talian dan kini dipercayai aktif merekrut mangsa sindiket dari Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, lokasi hospital yang dinyatakan pernah menjadi sasaran serbuan pihak berkuasa, namun sindiket berkenaan dipercayai sudah berpindah ke lokasi baharu berdekatan.
Katanya, modus operandi sindiket berkenaan semakin licik dan canggih dengan menggunakan teknologi untuk mengaburi lokasi sebenar, menyekat kamera serta komunikasi bebas menyebabkan usaha menyelamat agak sukar.
“MHO kini bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa tempatan dan antarabangsa bagi membawa pulang mangsa sindiket penipuan dari luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




