am@hmetro.com.my
Temerloh: Selepas koma hampir sebulan dan dirawat di sebuah pusat perubatan di Ho Chi Minh, Vietnam,
kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang akhirnya dibawa pulang ke tanah air untuk menerima rawatan susulan.
Mohamad Basri Ibrahim, 49, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 7 malam Selasa dan terus dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.
Menyambut kepulangannya, isterinya Husna Hamid, 39, bersama ahli keluarga dan kenalan.
Kakak Mohamad Basri, Norainun Ibrahim, 57, berkata, adiknya pulang dengan pesawat komersial dan diiringi dua doktor dari Malaysia yang melakukan pemantauan berterusan sepanjang penerbangan.
“Alhamdulillah, akhirnya adik saya dibawa pulang ke tanah air dan akan terus mendapat rawatan di sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohamad Basri koma ketika bercuti bersama keluarga di Ho Chi Minh pada 17 September lalu akibat pendarahan dalam kepala.
Dalam pada itu, Husna yang sedang hamil anak pertama selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga, bersyukur suaminya dapat dibawa pulang, serta berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, Kedutaan Malaysia di Vietnam dan orang ramai yang memberikan sumbangan.
“Alhamdulillah suami saya sudah balik dan harapan saya supaya dia cepat sembuh dan dapat menyambut kelahiran anak sulung kami, dijangka November nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




