Penyanyi, Ernie Zakri tidak menolak kemungkinan untuk berpadu suara dengan figura tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam album terbaharunya, Sahabat.
Menurut Ernie, peluang untuk berduet dengan biduanita kesayangan negara itu merupakan impian besar yang sekian lama terpendam dan berharap ia dapat direalisasikan satu hari nanti.
“Setakat ini, memang belum ada lagu duet dengan beliau. Tapi album Sahabat masih terbuka untuk kolaborasi baharu. Jadi, kita tengok nanti… Kalau ada rezeki, saya akan umumkan,” katanya.
Ernie berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet terbaharunya bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito berjudul Kisah Penuh Kecewa yang berlangsung di ibu pejabat Universal Music Malaysia, kelmarin.
Tambah pelantun lagu Masing-Masing itu, sebarang kerjasama dengan Siti perlulah melalui perancangan teliti memandangkan kedua-duanya kini sibuk dengan komitmen seni masing-masing.
“Sudah tentu saya nak sangat impian ni jadi kenyataan. Tapi ia tak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Beliau pun sibuk, saya pun ada komitmen sendiri. Tambahan pula kami berada di bawah label yang sama.
“Tapi saya dah pun bisik-bisik sikit dengan Kak Rozi (pengurus Siti)…,” katanya sambil tertawa kecil.
Dalam perkembangan lain, Ernie kini dalam perancangan menghasilkan album baharu berjudul Sahabat, yang bakal menampilkan kolaborasi istimewa bersama penyanyi tempatan dan antarabangsa.
Album Sahabat dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] “Itu Bukan Baby Bump, Tapi Baju Kembung” – Ernie Zakri Nafi Hamil




