sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk meraih gelaran kedua musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi pada final Terbuka Taiwan, sebentar tadi.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Taipei Arena, hari ini, Pearly-Thinaah yang turun selaku pilihan pertama dilihat berpeluang meraih kemenangan, namun Nakade-Takahashi berada di kelas tersendiri apabila mempamerkan corak permainan lebih meyakinkan untuk menang straight set 21-16, 21-18 dalam tempoh 40 minit.
Meskipun tewas, pujian harus diberikan kepada beregu kelima dunia itu yang tetap memberikan tentangan sengit kepada lawan dari Jepun.
Malah, persembahan mereka juga dilihat positif selepas kembali beraksi susulan berehat agak panjang ekoran kecederaan yang dialami Pearly.
Untuk rekod, ini adalah penampilan kedua mereka di pentas final tahun ini selepas muncul juara Masters Indonesia pada Januari lalu.
Secara tidak langsung, ia dapat membantu membina momentum dan motivasi buat Pearly-Thinaah dalam menghadapi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung pada 17 hingga 23 Ogos ini di India.
“Saya rasa perkara paling positif ialah kami perlahan-lahan sudah menemui semula rentak permainan dan keserasian dari segi rotasi di gelanggang. Kami juga tahu apa yang perlu dilakukan ketika beraksi.
“Cuma dari segi fizikal, kami masih belum berada pada tahap terbaik dan itu sedikit menjejaskan prestasi kami. Kami sudah mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki apabila pulang nanti dan kami akan berusaha menjadi lebih baik menjelang Kejohanan Dunia,” kata Pearly.
Sementara itu, kejuaraan Terbuka Taiwan menjadi gelaran keempat buat Nakade-Takahashi tahun ini selepas sebelum ini turut muncul juara Masters Orleans, Masters China dan Terbuka Amerika Syarikat.
Malah, daripada empat gelaran itu, mereka berjaya menewaskan dua pasangan Malaysia di pentas final apabila sebelum ini turut mengatasi beregu muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan pada final Masters China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




