‘Kalau krisis Negeri Sembilan nak selesai, MB kena tarik dulu surat itu’

‘Kalau krisis Negeri Sembilan nak selesai, MB kena tarik dulu surat itu’

KUALA PILAH – Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim didesak menarik balik surat yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja (MRR) berhubung status Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusi Gagasan Benteng Setia Tuanku Muhriz (GBSTM), Kamel Yassin berkata, hanya dengan cara itu saja dapat menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku, sekali gus memastikan pentadbiran negeri tidak terganggu.

“Kalau krisis ini nak selesai, tarik dulu surat itu. Itu titah Tuanku. Tak kan nak bincang dengan orang lain?

“Selagi perkara tersebut tidak dilaksanakan, bagaimana hendak membuka ruang untuk penyelesaian krisis ini. Itu antara perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Kamel (duduk, tengah) bersama NGO yang menyokong Tuanku Muhriz.

Kamel (duduk, tengah) bersama NGO yang menyokong Tuanku Muhriz.

Menurutnya, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memberikan penjelasan segera berhubung status siasatan terhadap laporan yang telah dibuat termasuk mengenai penghinaan terhadap Tuanku Muhriz.

Ujarnya, di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit, sebanyak lima laporan telah dibuat, namun sehingga kini masih belum diketahui hasilnya.

“Kita nak tahulah sejauh mana hasil siasatan dijalankan supaya segala yang dibangkitkan ada jawapan dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan. Jika tiada tindakan, perkara sama mungkin akan terus berulang,”katanya.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS) berkata, Ismail turut dituntut meletakkan jawatan sekiranya masih gagal melaksanakan titah perintah Tuanku Muhriz.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri tidak terganggu, sekali gus membolehkan urusan pentadbiran berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan sama, Kamel menegaskan bahawa pihaknya bersama rakyat Negeri Sembilan yang cintakan keamanan dan kestabilan akan terus memberikan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta institusi Adat Perpatih.

“Gerakan NGO ini akan terus digerakkan walaupun kemelut ini telah berakhir, dengan dua matlamat utama iaitu mempertahankan institusi adat dan istana daripada pihak-pihak dan anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang mungkin muncul semula untuk merosakkan institusi sedia ada.

“Mendidik masyarakat dan memberi kefahaman tentang adat perpatih berdasarkan fakta yang sebenar, agar rakyat tidak terkeliru dengan hujah pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi,”katanya.

Krisis istana di Negeri Sembilan yang bermula sejak April lalu timbul apabila Undang Yang Empat termasuk tiga dipertikaikan dan Tunku Besar Tampin mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Scroll to Top