puterialia@hmetro.com.my
MESKIPUN mengakui agak tertekan untuk menyaingi keserasian gandingan terdahulu, pelakon, Kamal Adli sedia membawa nafas baharu lebih segar selepas dipilih sebagai hos tetap program Melodi bersama ganding Ain Edruce.
Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, pemilihannya sebagai hos baharu program hiburan ikonik berkenaan bermula secara berperingkat selepas beberapa kali diundang sebagai hos jemputan.
“Tawaran ini datang secara berperingkat sebenarnya. Saya bermula apabila digandingkan bersama dalam Melodi Raya. Ketika itu, saya buat bersama Kak Lina (Elly Mazlein).
“Ketika itu, belum dapat tawaran lagi, tetapi masa itu saya mula cucuk jarum. Memang tiada sebarang proses uji bakat pun dibuat. Dari situ kami mula berhubung semula dengan pihak Melodi,” katanya, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Kamal menyifatkan pembabitannya dengan program terbitan TV3 itu sudah terjalin sejak sekian lama, namun sekadar memegang peranan sebagai pengacara pengganti.
“Sebenarnya saya dah bersama dengan Melodi ini sejak zaman Awal Ashaari. Tetapi, kebanyakannya saya dipanggil sebagai tetamu undangan untuk menjadi pengacara pengganti kepada dia.
“Habis era itu, saya lompat pula ke zaman Nabila Huda. Sama juga, sekadar pengganti untuk tolong Abil (Nabila) sekiranya dia pergi bercuti. Situasinya tetap sama,” katanya.
Bagaimanapun, Kamal memanjatkan kesyukuran apabila pihak pengurusan akhirnya memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk mengemudikan rancangan itu sebagai hos tetap Melodi sejak 16 Julai lalu.
“Alhamdulillah, saya rasa ini satu rezeki untuk saya dan saya amat berterima kasih kepada Allah, TV3 serta ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan.
“Apabila ditawarkan, saya terus bersetuju. Cuma ada juga saya bertanya semula kepada mereka, betul ke (pilihan ini)? Sebab sekarang ini Melodi sudah ada gandingan yang betul ketika itu,” kongsinya.
Mengimbau detik sebelum ditawarkan menjadi hos tetap, Kamal berkata, dia pernah menggantikan Ain Edruce yang ketika itu bercuti untuk mengacarakan program berkenaan bersama Fikry Ibrahim.
Gandingan spontan itu ternyata mendapat maklum balas positif daripada produksi dan penonton yang menyifatkan keserasian mereka amat menjadi.
Dalam pada itu, Kamal berkata, dia mahu membawa nafas baharu supaya penonton tidak bosan dengan penampilan segar yang dibawakannya.
“Kami cuma nak bawakan imej yang segar sebagai orang baharu supaya orang tidak bosan. Gosip itu sikit-sikit sahaja. Saya mahu kami sama-sama sampaikan perkara yang ‘fresh’ kepada penonton.
“Apa yang kami ceritakan itu biar penonton seronok dan mahu lihat, bukan sekadar syok sendiri. Tetapi, kali ini kami nak buat penyampaian itu disampaikan dengan penuh rasa kepada penonton,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




