Memahami hibah & wasiat

Memahami hibah &  wasiat

Assalamualaikum Datuk. Saya ada permasalahan, arwah ibu dan ayah saya meninggalkan harta yang agak banyak untuk saya dan empat adik-beradik. Cuma, pembahagian harta itu sudah dibuat ketika ibu dan ayah saya masih hidup.

Contohnya, untuk adik bongsu saya, kedua-dua ibu bapa memberikan rumah dan tanah, manakala saya hanya tanah. Saya berasakan pembahagian itu tidak adil. Bolehkah saya tuntut secara faraid atau bagaimana Datuk?

JAWAPAN

Waalaikummussalam. Terima kasih atas soalan yang diberikan. Persoalan seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat. Bahkan, ia sering menjadi punca perselisihan antara adik-beradik selepas pemergian ibu bapa. Ada yang berasakan dirinya dizalimi, ada pula yang mempertahankan bahawa ibu bapa mempunyai hak mutlak terhadap harta mereka semasa hidup.

Akhirnya, hubungan kekeluargaan yang dibina sejak kecil menjadi renggang hanya kerana isu harta.

Persoalan yang perlu difahami ialah, adakah semua harta yang pernah dimiliki ibu bapa secara automatik menjadi harta pusaka apabila mereka meninggal dunia? Atau adakah terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan sesuatu harta tidak lagi tertakluk kepada hukum faraid?

Islam sebenarnya menggariskan prinsip yang sangat jelas dalam perkara ini.

Harta semasa hidup berbeza dengan harta pusaka

Ramai menyangka semua harta yang pernah dimiliki ibu bapa wajib dibahagikan mengikut faraid selepas mereka meninggal dunia. Hakikatnya, hukum faraid hanya membabitkan harta yang masih menjadi milik si mati ketika kematiannya.

Sekiranya seseorang menyerahkan hartanya kepada orang lain semasa hidup melalui akad yang sah seperti hibah, harta tersebut telah berpindah milik dan bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka.

Oleh sebab itu, ulama menyatakan bahawa sebelum sesuatu harta dibahagikan secara faraid, hendaklah dipastikan terlebih dahulu sama ada harta berkenaan benar-benar masih dimiliki oleh si mati ketika beliau meninggal dunia ataupun berpindah milik lebih awal.

Ini perbezaan yang sering tidak difahami oleh masyarakat.

Hibah harus menurut syarak

Islam mengiktiraf hibah sebagai satu bentuk pemindahan hak milik semasa hidup. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil kecuali melalui urusan yang dilakukan secara reda antara kamu.” (Surah al-Nisa’: 29)

Ayat ini menunjukkan bahawa syarak mengiktiraf pemindahan hak milik dilakukan secara sah dan dengan kerelaan pihak yang terlibat. Oleh itu, ibu bapa mempunyai hak untuk menghadiahi sebahagian hartanya kepada anak semasa mereka masih hidup.

Walaupun hibah dibenarkan, Islam tetap menuntut supaya ibu bapa berlaku adil terhadap anak.

Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, beliau berkata bahawa bapanya menghadiah sesuatu kepadanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah terhadap anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, apabila bapa al-Nu’man meminta Rasulullah SAW menjadi saksi terhadap hibah itu, baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi terhadap suatu kezaliman.”

Hadis ini menjadi asas kepada galakan supaya ibu bapa tidak memilih kasih dalam pemberian sehingga menimbulkan permusuhan sesama anak.

Adakah adil bererti mesti sama banyak?

Ini persoalan yang sering timbul. Sebahagian masyarakat beranggapan adil bermaksud setiap anak mesti menerima nilai harta yang sama.

Hakikatnya, para fuqaha mempunyai beberapa pandangan.

Majoriti ulama berpandangan bahawa pemberian yang sama adalah amat digalakkan. Namun, mereka juga menjelaskan bahawa ada keadaan tertentu yang membolehkan seorang anak menerima lebih daripada yang lain. Contohnya:

l Anak yang menjaga ibu bapa sehingga akhir hayat

l Anak yang menanggung adik-beradik lain

l Anak yang kurang berkemampuan

l Anak yang sakit atau orang kurang upaya

l Anak yang mempunyai keperluan yang lebih besar

Imam Ibn Qudamah menyebut bahawa tidak mengapa memberikan kelebihan kepada sebahagian anak sekiranya terdapat maslahat dan keperluan yang diiktiraf syarak.

Ini menunjukkan keadilan menurut Islam tidak semestinya bermaksud persamaan mutlak, sebaliknya meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Bilakah waris boleh menuntut melalui faraid?

Ini persoalan yang paling penting. Sekiranya rumah dan tanah yang diberikan kepada adik bongsu memenuhi syarat hibah yang sah ketika ibu bapa masih hidup, antaranya berlaku ijab dan kabul serta penyerahan milikan (qabd), maka rumah itu bukan lagi milik ibu bapa ketika mereka meninggal dunia.

Oleh itu, waris lain tidak boleh menuntut rumah tersebut melalui faraid.

Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa hanya pernah berkata ‘rumah ini nanti ayah nak bagi kepada kamu’, tetapi tiada penyerahan milikan berlaku sehingga mereka meninggal dunia, maka keadaannya berbeza.

Rumah itu masih dianggap milik si mati dan hendaklah dimasukkan dalam harta pusaka untuk dibahagikan mengikut hukum faraid.

Perbezaan ini yang sering menjadi pertikaian di mahkamah syariah.

Jangan keliru antara hibah dan wasiat

Dalam masyarakat terdapat kekeliruan antara hibah dan wasiat. Hibah berlaku ketika pemberi masih hidup dan berkuat kuasa serta-merta apabila syaratnya dipenuhi.

Wasiat pula hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat. Oleh sebab itu, sesuatu pemberian yang dinamakan ‘hibah’, tetapi sebenarnya hanya ingin berkuat kuasa selepas kematian perlu diteliti menurut hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jangan jadikan harta punca putus silaturahim

Apa yang lebih membimbangkan ialah ada ahli keluarga yang bertahun-tahun tidak bertegur sapa hanya kerana berebut harta.

Ada yang membawa kes ke mahkamah bukan kerana ingin menegakkan hak, tetapi didorong oleh rasa kecewa, iri hati dan dendam terhadap adik-beradik sendiri. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan damaikanlah hubungan sesama kamu.” (Surah al-Anfal: 1)

Harta boleh dicari, tetapi hubungan kekeluargaan yang rosak amat sukar dipulihkan.

Oleh sebab itu, setiap pertikaian berkaitan hibah dan faraid hendaklah diselesaikan melalui saluran yang betul, sama ada mendapatkan nasihat daripada institusi agama, peguam syarie atau mahkamah syariah bukan dengan tuduhan dan permusuhan sesama waris.

Kesimpulannya, seseorang anak tidak boleh terus menuntut pembahagian semula secara faraid hanya kerana berasakan pembahagian semasa hidup ibu bapanya tidak sama rata.

Perkara pertama yang mesti dipastikan ialah sama ada harta itu benar-benar telah menjadi milik penerima melalui hibah sah ataupun masih kekal sebagai milik ibu bapa sehingga saat kematian.

Sekiranya hibah telah sempurna menurut syarak maka harta tersebut bukan lagi harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Namun, jika hibah itu tidak sempurna atau hanya berbentuk janji tanpa penyerahan hak milik, harta itu hendaklah dimasukkan dalam harta pusaka dan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Pada masa sama, ibu bapa juga hendaklah mengambil iktibar bahawa walaupun syarak membenarkan hibah, mereka sewajarnya berlaku adil dan berhikmah dalam menguruskan harta.

Ketelusan, perbincangan dengan ahli keluarga dan dokumentasi yang jelas mampu mengelakkan pertikaian selepas pemergian mereka.

Sesungguhnya tujuan syariat bukan sekadar memastikan harta diagihkan dengan betul, tetapi juga memelihara kasih sayang, silaturahim dan keharmonian dalam institusi keluarga.

Jangan harta yang bersifat sementara menjadi sebab terputusnya hubungan kekeluargaan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Wallahu a’lam.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top