Kami cuma minta doa, tak perlukan duit. – Bapa Ainul Mardhiah

Kami cuma minta doa, tak perlukan duit. – Bapa Ainul Mardhiah

MELAKA – Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 27, meminta orang ramai berhati-hati dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang dikesan menggunakan nama anaknya itu untuk penipuan kutipan derma.

Berita itu dikongsikannya menerusi status Facebook (FB) miliknya sebentar tadi yang turut menyebabkan isterinya Nurul Erwani Zaidi, 27, terpaksa meminta orang ramai berkongsi pautan ‘scammer’ berkenaan di akaun Instagram miliknya untuk tindakan lanjut.

“Hati-hati dengan scammer yang guna nama anak saya Ainul Mardhiah untuk kutipan derma. Kami cuma minta doa, kami tak perlukan duit.

“Semoga Allah swt cukupkan rezeki kita semua,” tulisnya melalui status berkenaan.

Sementara itu Nurul Erwani berkata, dia kesal terhadap tindakan individu terbabit yang sanggup mengaut keuntungan dengan cara mengambil kesempatan terhadap orang lain.

“Yang mana ada jumpa scammer guna gambar Ainul untuk kaut duit, tolong sharekan pada saya.

“Saya akan terus uar-uarkan pada akaun saya untuk tak nak orang ramai tertipu dengan mereka. Melampau betul mereka ini.

“Buat kerja dan ambil kesempatan atas orang lain. Orang Islam kan, cuba cari rezeki yang halal. Geram ni!,” tulisnya.

Nurul Erwani dalam statusnya itu turut memuat naik sekeping gambar tangkap layar akaun Facebook menggunakan nama Jamilah Firdaus yang didakwa cuba menipu orang ramai menggunakan situasi terkini Ainul Mardhiah.

Akaun tersebut melancarkan tabung kilat Ainul Mardhiah dengan meletakkan nombor akaun Maybank atas penama Othman Zakaria.

Semalam. MalaysiaGazette melaporkan kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser Germ Cell Tumor atau tumor di mulutnya sejak lahir, Ainul Mardhiah 4, kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman.

Kisah Ainul Mardhiah pernah menggemparkan rakyat negara ini yang simpati dengan nasibnya menderita tumor di mulut ketika berusia lapan bulan.

Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London pada 10 Jun 2019.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan – MalaysiaGazette