Bekalan beras setahun kepada pengunjung MAHA 2022

KUALA LUMPUR- Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2022 berpeluang memenangi bekalan beras selama setahun sumbangan Padiberas Nasional Bhd. (Bernas).

Bernas dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menyediakan hadiah berkenaan sebagai hadiah utama pertandingan Teka Berat Beras?

Manakala pemenang tempat kedua akan mendapat bekalan beras selama enam bulan dan pemenang ketiga memenangi bekalan beras selama tiga bulan.

Selain itu, Bernas turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Chop ‘til you drop!, No Pain No Grain, Rice Click dan Sup-rice!

Bernas juga akan menganjurkan Pertandingan Badang BERNAS pada 13 Ogos ini di Pentas Utama Dewan A, MAEPS.

Pertandingan yang akan bermula jam 2.00 petang itu  akan menguji kekuatan fizikal peserta untuk mengangkat kampit beras yang disediakan.

Di Laman Padi pula, pengunjung akan dijamu dengan Bubur Lambuk Istimewa Bernas, selain dapat melihat sendiri demonstrasi pemprosesan padi di Kilang Mini Padi Bernas.

Dalam pada itu, Bernas juga akan bersama pihak penganjur di dalam Karnival Kerjaya MAHA 2022.

Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, mereka boleh menyerahkan permohonan lengkap dengan butiran peribadi kepada wakil Bernas pada 4 hingga 6 Ogos nanti. -MalaysiaGazette