am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hamparan tanah berlumpur, aliran sungai dan kesan kemusnahan menjadi antara pemandangan dirakam seorang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ketika menyertai misi di Nepal.
Gambaran itu dikongsikan Ahmad Sahfezal Ismail atau lebih dikenali sebagai Pok Ja menerusi video berdurasi 41 saat di TikTok yang merakam sebahagian pengalaman pasukan berkenaan sepanjang berada di negara itu.
Pada awal rakaman, Ahmad Sahfezal memaparkan barisan 11 anggota SMART yang terbabit dalam misi berkenaan bersama peranan dan kepakaran masing-masing.
Ahmad Sahfezal disenaraikan dalam bahagian perancangan selain mempunyai kemahiran sebagai juruterbang dron, penyelamat dan paramedik.
“Kami dah buat yang terbaik untuk keluarga mangsa,” menurut mesej yang dipaparkan dalam rakaman itu.
Rakaman berkenaan kemudian membawa penonton melihat sendiri perjalanan anggota SMART dari udara ketika menaiki helikopter merentasi kawasan pergunungan dan lokasi terjejas akibat bencana.
Dari udara, kelihatan aliran sungai yang merentasi kawasan pergunungan selain kesan runtuhan dan timbunan tanah di beberapa lokasi.
Rakaman itu kemudian memaparkan anggota SMART berada di lapangan ketika menjalankan tugasan dalam keadaan muka bumi yang mencabar.
Visual berkenaan memberi sedikit gambaran mengenai persekitaran yang dihadapi pasukan Malaysia sepanjang operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas di Nepal.
Rakaman turut memperlihatkan poster wajah anggota Team Loe yang masih hilang susulan banjir di Rasuwa pada 26 Ogos lalu.
Team Loe terdiri daripada 10 rakyat Malaysia dan diketuai Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, atau lebih dikenali sebagai Loe.
Turut bersama kumpulan itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, 59.
SMART dihantar ke Nepal pada 5 September bagi menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.
Sepanjang penugasan, pasukan itu menjalankan pencarian darat dan cerapan udara menggunakan dron di kawasan yang disahkan selamat serta mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.
Pasukan SMART selamat kembali ke tanah air Isnin lalu selepas menamatkan penugasan di Nepal, manakala usaha pihak berkuasa negara itu mengesan mangsa yang masih hilang diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

