am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga jurulatih vokal, Datuk Syafinaz Selamat, 53, mendedahkan dia tidak mengambil minuman manis terutama gula putih yang juga antara rahsianya mengekalkan kejelitaan dan awet muda.
Syafinaz berkata, selain menjaga pemakanan dan melakukan rutin senaman, dia juga sentiasa berfikiran positif dalam setiap perkara.
“Saya akui bila usia semakin meningkat kita kena lebih menjaga pemakanan, rutin senaman untuk menjaga kesihatan serta hidup sihat sehingga penghujung usia.
“Saya pastikan minum banyak air suam dan kalau minum teh tanpa gula. Saya juga elak gula putih dan hanya ambil gula dari buah. Selain itu, saya juga mengambil beras perang, makan sayur dan makanan berasaskan protein,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Syafinaz, dia bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit serius seperti kebanyakan wanita seusianya.
“Saya juga mengalami kenaikan berat badan, sebab itu perlu melakukan rutin senaman di gimnasium sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
“Cuma buat masa ini kerana agenda kerja yang padat, saya berhenti sekejap ke gimnasium kerana tangan saya sakit akibat tergelincir sebelum ini,” katanya.
Ditanya trend pembedahan kosmetik dan bariatrik di kalangan selebriti pula, kata Syafinaz, dia lebih suka memilih cara ‘natural’ seperti suntikan ‘skin booster’ dan pengambilan kolagen.
“Saya tidak mengambil suntikan botox, buat ‘filler’, potong usus dan sebagainya. Saya bukannya tak percaya tapi belum ada keperluan untuk melakukannya.
“Saya tak nak cakap saya tidak akan buat sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

