Ucapan sentuh sensitiviti agama di PAU 2026, PDRM serah kertas siasatan kepada AGC

Ucapan sentuh sensitiviti agama di PAU 2026, PDRM serah kertas siasatan kepada AGC

Polis selesai menjalankan siasatan berhubung ucapan perwakilan UMNO Selangor, Datuk Noorazli Said, ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.

Polis telah terima 86 laporan berkaitan isu

Menerusi kenyataan daripada, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau memaklumkan, setakat ini polis menerima 86 laporan berkaitan isu berkenaan, manakala percakapan 93 individu sudah dirakam.

“Individu yang dirakam percakapan terdiri daripada orang awam, pihak penganjur dan perwakilan UMNO termasuk suspek (Noorazli).
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok untuk arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kumar, Seksyen 298 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan menyebut perkataan, membuat bunyi atau isyarat dengan niat melukakan perasaan agama seseorang.

Jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Ucapan sentuh sensitiviti agama di PAU 2026, PDRM serah kertas siasatan kepada AGC

Foto: Utusan Malaysia

Justeru itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat, di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

Terdahulu, ucapan Noorazli ketika PAU 2026 mencetuskan kontroversi susulan kisah berbentuk jenaka membabitkan paderi dan biarawati ketika beliau berucap mengenai kepentingan kebijaksanaan politik.

Noorazli kemudian menjelaskan kisah itu digunakan sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.

Beliau menegaskan tidak berniat menghina atau memperlekeh mana-mana agama dan bersedia memohon maaf sekiranya penyampaiannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Scroll to Top