SEPANG – Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini ketika kira-kira 200 penyokong berkumpul bagi menyambut kepulangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka – Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS – Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Suasana di hadapan bilik kenamaan, Terminal 1 KLIA itu turut diselang-seli laungan ‘Tangkap Pengkhianat’ daripada sebahagian penyokong yang hadir.
Majoriti mereka dilihat mengenakan pakaian berwarna hitam, manakala sebahagian lelaki pula lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.
Sebahagian penyokong turut membawa kain rentang dan memegang plakad sambil melaungkan kata-kata sokongan kepada Tuanku Muhriz yang dijadualkan tiba dari luar negara itu.
Turut kelihatan, putera sulung baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Seri Ali Redhauddin.
Kehadiran penyokong itu susulan kemelut membabitkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar, selain menyatakan tiada kekosongan jawatan berkenaan selagi baginda memegang jawatan secara sah.
