Kami hampir lakar sejarah tewaskan JDT – Aidil Sharin

Kami hampir lakar sejarah tewaskan JDT – Aidil Sharin

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Meskipun hampir meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang begitu gah dengan 14 kemenangan berturut-turut, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tampak pasrah apabila tewas tipis 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah pengendali kelahiran Singapura itu menegaskan barisan pemainnya sudah memberi segalanya dalam perlawanan itu sehingga membuat barisan pemain skuad kendalian Xisco Munoz berada dalam situasi tertekan terutama selepas mendahului 1-0 pada babak pertama permainan.

“Sudah tentu saya bangga dengan kualiti permainan yang ditampilkan barisan pemain saya, mereka tidak gentar untuk memberi saingan namun kami hampir melakar sejarah cipta kemenangan ke atas JDT tapi sudah suratan kami tewas dengan jaringan yang kecil.

“Apa pun, secara keseluruhan permainan , ia satu persembahan yang boleh kami banggakan kerana tidak bermain secara bertahan, sebaliknya mampu melakukan serangan dan memberi tekanan terhadap benteng JDT tapi penyudah tepat gagal dilaksanakan.

“Walaupun kami berdepan 10 pemain JDT tapi menentang 10 pemain itu bukanlah tugas mudah dan kami menjaringkan gol di babak pertama namun di babak kedua pada 15 minit permainan seperti yang pernah saya katakan JDT mampu bangkit dan ia berpunca daripada kelekaan benteng kami,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan skuad The Cats yang kini menghuni tangga keempat liga, Aidil Sharin menegaskan ia menunjukkan perkembangan positif tatkala pada awal musim posisi pasukan itu berada di tangga ke-13 dan akan berusaha untuk mengekalkan di dalam kelompok empat terbaik dalam saingan liga.

“Ketika itu, kami berada di tangga ke-13, kemudian naik ke tempat keempat, seterusnya kedua, dan kini kembali ke keempat dan kami ada satu perlawanan di tangan dan jika menang sudah tentu akan memintas Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC,” katanya.

Aidil Sharin juga memberitahu tidak menurunkan Arif Farhan Md Isa dalam perlawanan itu tatkala bekas pemain Penang FC itu baru sahaja menjalani latihan selama dua hari dan dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan malah ia akan memberi risiko jika diturunkan kerana mengelak daripada berdepan kecederaan kerana kurang latihan berintensiti tinggi.

Beliau juga mendedahkan kelab berkenaan dalam perancangan untuk mendapatkan khidmat dua pemain import baharu, masing-masing dari Afrika dan Timur Tengah, bakal menyertai The Cats selain turut mengintai pemain tempatan yang kini beraksi di luar negara.

“Kehadiran mereka juga akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain skuad serta mewujudkan persaingan sihat dalaman. Kita juga tidak menolak kemungkinan membawa masuk seorang lagi pemain tempatan, bergantung kepada kedudukan kewangan kelab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top