'Kami harmoni di PPR'

'Kami harmoni di PPR'

hafizithnin@mediaprima.com.my

Sering digambarkan, menghuni ‘di sarang merpati’ yang sesak. Namun, rata-rata penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebenarnya bukan sahaja hidup dalam keadaan selesa, malah mempunyai semangat kejiranan yang tebal.

Tidak sekadar itu, kajian yang dilakukan Institut Kajian Khazanah pada 2023 membabitkan 3,878 isi rumah di lima PPR masing-masing empat di ibu negara dan satu di Pulau Pinang mendapati lebih 60 peratus responden berpuas hati dengan tahap keselesaan di PPR secara umum.

Zakaria Othman, 71.

Hampir 16 tahun menjadi penghuni di PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur. Pada awalnya dia mendiami kawasan setinggan di sekitar Kuala Lumpur sejak berhijrah ke ibu negara pada 1970 dari Melaka. Dia menjadi saksi pembangunan PPR dan komuniti setempat di kawasan perumahan berkenaan.

Dia menjadi penduduk awal yang menghuni di PPR Pantai Ria pada 2008 merasakan tinggal di PPR adalah bersifat majmuk kerana ada berbilang bangsa dan latar belakang negeri asal yang berhijrah di Kuala Lumpur.

Katanya, kini di PPR Pantai Ria mempunyai sekitar 5,000 penduduk yang menghuni 1,260 unit kediaman membabitkan empat blok di kawasan berkenaan dengan pecahan kaum hampir 80 peratus adalah Melayu, 15 peratus India dan lima peratus Cina.

“Walaupun rumah saya hanya sekitar 500 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, tetapi saya masih bersyukur kerana kerajaan menyediakan kediaman untuk rakyat yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan tempat tinggal dan rumah ini saya rasa selesa.

“Apatah lagi, jika kita mencari rezeki di Kuala Lumpur, pastinya kos sara hidup menjadi perkara paling penting difikirkan dan dengan bayaran sewa RM124 sebulan amat membantu untuk saya hidup di ibu negara bersama keluarga,” katanya.

Tambahnya, dia gembira tinggal di PPR bukan sahaja disebabkan dapat menikmati kadar sewa murah, malah dapat bercampur pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai negeri di negara ini.

“Di PPR ini kami seperti di kampung sebenarnya kerana kehidupan harmoni seperti di kampung masih wujud. Apabila ada majlis kenduri misalnya, kami sama-sama bergotong-royong dengan masyarakat setempat untuk membantu jiran.

“Jadi, bagi saya ia satu kehidupan kejiranan yang baik sama seperti kita tinggal di kawasan kampung iaitu semangat kejiranan amat menebal,” katanya.

Jelasnya, ketua komuniti memainkan peranan amat penting bagi penduduk di PPR kerana individu ini yang mampu menjadi penggerak dalam komuniti besar dalam PPR.

“Sebagai penduduk PPR kita perlu sedar bahawa semua yang ada di kawasan kita tinggal ini adalah hak bersama termasuk dinding, lantai dan siling rumah yang dihuni.

“Jadi, sikap tolak ansur dan memahami itu penting jika tidak, jiran ketuk cili di lantai penduduk rumah bawah akan bising. Jadi, kita perlu ada jiwa bertolak ansur dan memahami keperluan setiap penghuni. Bercakap dengan baik sesama jiran sudah pasti segala masalah diselesaikan dengan harmoni,” katanya.

Katanya, meskipun orang di luar PPR melihat isu ketidakselesaan di PPR berlaku dalam komuniti di kawasan itu sebenarnya tidak tepat.

“Contohnya kita lihat orang bercakap mengenai kesesakan tempat parkir di PPR, tetapi bagi kami di sini sudah biasa keadaan meletakkan kenderaan berlapis dan perlu peka untuk tidak menarik brek tangan atau meninggalkan nombor telefon.

Zolkaple Baba, 63.

“Kami penduduk di PPR ini seperti adik-beradik. Jika ada majlis tidak diajak, ada yang merajuk. Begitu lumrah hidup ‘adik-beradik’ di PPR ini,” kongsi Zolkaple yang sudah 10 tahun menjadi penghuni PPR di Seri Cempaka, Pantai Dalam di Kuala Lumpur.

Dia juga adalah pengerusi di PPR berkenaan berkata, keharmonian dalam masyarakat setempat dapat dilihat apabila komunikasi antara jiran dalam kalangan penduduk di PPR kawasannya sentiasa dalam keadaan baik.

“Sejak saya menjadi pengerusi pada 2021 saya amat menekankan kepada fungsi ketua komuniti yang terdiri daripada ketua aras, blok, surau dan kawasan rukun tetangga (KRT) kerana mereka ini akan menyampaikan permasalahan yang berlaku dalam kalangan komuniti kecil mereka dan perlu diselesaikan pengerusi PPR dengan segera.

“Misalnya jika berlaku masalah lif, saya sebagai ketua komuniti akan segera meminta pihak berkuasa menyelesaikan perkara itu kerana ia membabitkan tahap keselesaan penghuni di PPR,” katanya.

Katanya, dari segi aktiviti kemasyarakatan juga tidak boleh diketepikan seperti kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan setempat dan tidak perlu menunggu pihak berwajib melaksanakannya.

“Apabila banyak melakukan aktiviti bersama dalam kalangan masyarakat hubungan antara kejiranan dapat dipupuk dengan baik. Perkara itu yang boleh berlaku, jika tidak diajak akan berkecil hati,” katanya.

Katanya, lebih menarik ialah pihak bertanggungjawab dalam PPR iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mudah untuk diakses tanpa banyak kerenah birokrasi.

“Saya, jika berlaku masalah begitu mudah berurusan dengan DBKL. Kadangkala hanya menerusi e-mel tindakan lanjut diambil mereka untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Katanya, sentimen masyarakat mengenai anak PPR terdedah kepada masalah sosial juga sebenarnya tidak tepat kerana secara peribadi dia sebagai penduduk PPR melihat setiap penduduk sentiasa peka kepada isu berkenaan.

“Misalnya di tempat saya, kami sebagai ketua komuniti sentiasa memantau keadaan di sekitar. Jika melihat ada anak-anak yang melepak sehingga lewat malam kami akan tegur.

“Malah, ibu bapa mereka juga berterima kasih dengan tindakan kami itu dan tidak mengambil hati. Perkara ini yang diterapkan dalam komuniti kami supaya tidak berlaku isu sosial dalam kalangan anak PPR,” katanya.

Rosali Md Nasid, 55.

Menjadi penghuni PPR Desa Rejang di Kuala Lumpur sejak 19 tahun lalu dan bergelar orang kurang upaya (OKU) melihat kemudahan di PPR sememangnya mesra kepada penghuni OKU.

Rosali yang juga OKU fizikal dan menjadi Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (Perjati) melihat pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi DBKL amat peka kepada penduduk dalam kalangan OKU yang menghuni di PPR.

Antaranya bagi penduduk OKU yang berdepan cabaran pergerakan akan ditempatkan di unit kediaman aras bawah yang mempunyai laluan khas untuk berkerusi roda.

Jelasnya, di PPR Desa Rejang ada dua blok yang mempunyai kemudahan laluan berkerusi roda dan menempatkan OKU yang menggunakan kerusi roda iaitu di Blok D dan Blok K.

“Kemudahan lain yang disediakan untuk OKU yang menghuni di PPR ini adalah saiz ciri kediaman juga berbeza kerana mempunyai tandas lebih luas bagi memudahkan pergerakan penghuni.

“Malah, bagi memudahkan pergerakan OKU bergerak di kawasan luar rumah seperti di medan selera mempunyai laluan tanjakan dan juga ada parkir khas untuk OKU di kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, di PPR Desa Rejang ada 175 OKU yang menghuni di kawasan berkenaan dan kewujudan persatuan OKU di PPR amat penting untuk menyuarakan keperluan mereka.

“Di PPR ini secara umum kami seperti masyarakat yang tinggal di kampung walaupun secara realitinya di bandar kerana hubungan kejiranan kami amat kuat dan sentiasa peka antara satu sama lain. Malah, golongan OKU juga tidak pernah dipinggirkan.

“Misalnya ada anggota persatuan OKU yang tidak sihat, kami akan melawat dan memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka kerana sikap prihatin itu amat penting bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan kejiranan di PPR,” katanya.

Jelasnya, sebagai individu yang sudah berkeluarga dan menghuni di PPR, dia tidak pernah merasakan tekanan dengan persekitaran kediaman kerana segala-galanya lengkap dan paling penting hubungan kejiranan yang amat erat.

“Perkara paling ketara yang boleh dilihat tahap peduli masyarakat di sini dengan golongan OKU ialah parkir khas untuk golongan seperti kami tidak pernah disalahgunakan.

“Selain itu, paling menonjol dapat dilihat tahap keharmonian kami di sini ialah ketika berlaku pandemik Covid-19, jiran tetangga tanpa mengira OKU atau tidak sentiasa memberikan bantuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top