
Iran mengutuk keras perbuatan musuh mereka yang disifatkan sebagai ‘penyamun moden’.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) dengan bangga diri menyatakan pasukan tentera laut mereka bertindak seperti lanun ketika merampas kapal tangki dan kargo yang cuba melanggar sekatan dikenakan Washington ke atas pelabuhan utama Iran.
“Kami tawan kapal dan seluruh kargo mereka. Ia adalah ‘perniagaan’ yang sangat menguntungkan. Kami sudah jadi seperti lanun,” katanya ketika majlis makan malam di Florida pada Jumaat yang turut disambut gelak tawa para hadirin.
Sejak sekatan haram itu berkuat kuasa lebih dua minggu lalu, beberapa kapal telah dirampas oleh AS sejurus ia meninggalkan pelabuhan negara itu.
Sebagai respons, Teheran bertindak menutup semula Selat Hormuz yang menjadi ‘senjata strategik’ dalam konflik tiada kesudahan itu.
Iran turut mengutuk keras perbuatan musuh yang disifatkan sebagai ‘lanun dan penyamun moden’.
Ketika komuniti antarabangsa menanti penuh debar perkembangan ketegangan di Asia Barat, Teheran tidak menolak kemungkinan perang baharu bakal tercetus selepas rundingan damai berulang kali ditangguhkan akibat perbezaan pendapat untuk mencapai kesepakatan.
“Pendirian Washington yang sering berubah-ubah sudah membuktikan mereka sebenarnya tidak serius untuk menghentikan perang secara kekal,” tegas Mohammad Jafar Asadi di pusat perintah Khatam al-Anbiya.
Iran dilaporkan telah mengemukakan cadangan baharu kepada Pakistan selaku perantara proses damai, namun syarat tersebut ditolak Trump yang masih tidak berpuas hati dengan keengganan Teheran untuk mengikut telunjuknya. – Agensi



