Kanak-kanak maut terkena tembakan secara tidak sengaja di Sydney

Kanak-kanak maut terkena tembakan secara tidak sengaja di Sydney

Sydney: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut akibat terkena tembakan secara tidak sengaja di sebuah kawasan pedalaman di barat daya Sydney pada Ahad, menurut polis di negeri New South Wales (NSW), lapor Xinhua.

Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke lokasi kejadian berhampiran bandar Goulburn, kira-kira 170 kilometer di barat daya Sydney dan 80 kilometer di timur laut Canberra, sekitar 11.20 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan polis NSW, anggota yang tiba di lokasi dimaklumkan bahawa mangsa cedera selepas senjata api meletup secara tidak sengaja.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius di leher telah diberi rawatan oleh paramedik namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis NSW memaklumkan bahawa siasatan berhubung insiden itu telah dimulakan dan satu laporan akan disediakan untuk dimajukan kepada koroner.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top