nurul.hidayah@hmetro.com.my
Sepang: Sebanyak 54 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini memasuki Zon Kuning 2 yang terletak kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, flotilla akan memasuki zon berisiko tinggi pada waktu malam dengan pemintasan oleh pihak rejim Zionis dijangka berlaku dalam tempoh beberapa jam akan datang,
“SNCC menegaskan bahawa pemintasan yang mungkin akan dilakukan oleh pihak rejim Zionis bertujuan untuk menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang selama ini sah di bawah klausa UNCLOS.
“Di bawah klausa ini, ia membenarkan apa jua bantuan kemanusiaan disalurkan ke tempat yang bergolak tanpa sekatan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan SNCC, di sini, hari ini.
Sani berkata, pemintasan itu akan menjadi bukti kukuh salah laku rejim Zionis yang akan diheret ke muka pengadilan pada tahap tertinggi dengan kerjasama rangkaian peguam antarabangsa.
“Justeru itu, seluruh rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menyaksikan kejayaan misi ini, sama ada berjaya ditahan, atau berjaya mendarat di pantai Gaza.
“Kesaksian anda akan membuktikan bahawa laluan laut itu boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza secara terus tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada pihak rejim Zionis,” katanya.
Beliau berkata, SNCC melancarkan 4 Usaha menerusi ‘Sumud Protocol’ sebagai pelan tindakan fasa satu yang digerakkan bermula fasa akhir misi flotilla menuju ke Gaza.
“SNCC menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggerakkan sokongan dan keahlian sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti sebagai cerminan keteguhan institusi Parlimen yang berani dan komited membela nasib Palestin.
“SNCC mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan oleh ahli-ahli parlimen dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU).
“Ia bagi meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim susulan pencabulan undang-undang antarabangsa serta sekatan kemanusiaan ke atas Gaza,” katanya.
Menurutnya, SNCC turut melancarkan usaha siaran langsung selama 100 jam Sumud Kita Untuk Gaza menerusi platform rasmi Sumud Nusantara.
“Ia bagi memperluaskan kesedaran awam dan menyampaikan perkembangan semasa misi flotilla kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
“SNCC melalui sayap perundangan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) dengan sokongan kerajaan Malaysia menggerakkan usaha failkan tuntutan kepada Ketua Pesuruhjaya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Ia untuk pencabulan undang-undang antarabangsa susulan tindakan menculik, menyerang dan merampas bahan bantuan kemanusiaan serta kapal flotilla kemanusiaan di perairan antarabangsa dilakukan Israel pada 2025 dan April lalu,” katanya.
Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk lakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah sahih berkaitan Palestin.
Katanya, usaha itu bagi menangkis propaganda jahat rejim Zionis serta meningkatkan kesedaran awam menerusi semua platform media.
“SNCC turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.
“SNCC menegaskan bahawa setiap penyebaran maklumat perlu sentiasa berpandukan sumber yang sahih dan berautoriti.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh melayari portal rasmi tanya.sumudnusantara.com,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan pelayaran fasa akhir misi bantuan kemanusiaan GSF membabitkan 54 kapal bermula secara rasmi dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye, jam 7.30 malam, semalam, waktu Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




